156 anak penyu petunjuk pantai Kelantan berpotensi jadi habitat
-
09 October 2026
-
Oleh: Asri Hamat | Kredit foto: Media YB Dato' Tuan Saripudin
-
38
PASIR PUTEH, 9 Oktober - Penemuan 156 anak penyu di Pantai Pachakan pada 23 Ogos memberi petunjuk bahawa pesisir Kelantan masih berpotensi menjadi habitat persarangan bagi spesies marin terancam itu.
Exco Pertanian, Industri Agro Makanan dan Komoditi YB Dato’ Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, penemuan berkenaan amat unik kerana Kelantan sudah lama tidak merekodkan penyu naik ke pantai negeri itu untuk bertelur secara alami.
Katanya, selepas kira-kira tiga dekad, Kelantan kembali merekodkan fenomena alami penyu bertelur dan menetas di pantai negeri itu menerusi penemuan 156 anak penyu di Pantai Pachakan.
“Penemuan ini bukan sekadar mengenai seekor penyu yang memilih pantai untuk bertelur, malah ia memberikan satu petunjuk penting bahawa pesisir Kelantan masih berpotensi menjadi habitat persarangan bagi spesies marin terancam ini."
Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Program Keberkesanan Ekologi Tukun Tiruan dan Kesedaran Konservasi Marin Siri 1/2026 Bersama Komuniti Perikanan Daerah Pasir Puteh, Kelantan di Pantai Dalam Rhu, Pachakan, di sini semalam.
Program tersebut adalah kesinambungan penemuan dan penetasan 156 ekor anak penyu baru-baru ini, melibatkan 115 peserta terdiri daripada Pejabat Perikanan Negeri Kelantan, NGO Geng Plastik Ija, Persatuan Nelayan serta penduduk tempatan telah menjayakan program tersebut termasuk aktiviti mengutip sampah.
Hasilnya, sebanyak 324.20 kilogram sampah berjaya dikutip, sekali gus menunjukkan komitmen bersama dalam memastikan kebersihan pantai dan kelestarian ekosistem marin terus terpelihara.
Menurut Dato' Tuan Mohd Saripudin lagi, bagi sebuah negeri yang tidak begitu sinonim dengan pendaratan penyu berbanding beberapa lokasi utama lain di Pantai Timur Semenanjung Malaysia, perkembangan itu membuka lembaran baharu dalam usaha memahami kepentingan pantai Kelantan terhadap kitaran hidup dan kelangsungan populasi penyu.
Katanya, kehadiran penyu Agar di Pantai Kampung Pachakan, Pasir Puteh menunjukkan kawasan pesisir berkenaan mempunyai nilai ekologi yang wajar diberikan perhatian.
Tambahnya, penyu adalah khazanah marin yang perlu dipelihara dan dilindungi kerana keunikannya sebagai satu-satunya reptilia marin yang sudah wujud lebih jutaan tahun lalu.
“Jika reptilia marin ini tidak diurus dan dilindungi dengan baik, sudah pasti kini hanya tinggal nama dan gambar sahaja yang tidak dapat ditatapi oleh kita dan generasi akan datang,” katanya.
Ujarnya lagi, Malaysia bertuah kerana empat daripada tujuh jenis penyu yang masih wujud di dunia ketika ini mendarat dan bertelur di pantai negara ini.
"Empat jenis penyu itu ialah penyu Belimbing, penyu Agar, penyu Karah atau Sisik dan penyu Lipas," ujarnya.
Menurutnya lagi, antara ancaman kepupusan penyu dan spesies terancam dikenal pasti berpunca daripada tindakan manusia, termasuk aktiviti pembangunan tidak terancang di kawasan pendaratan penyu, pencemaran, hakisan dan penambakan pantai pendaratan penyu, selain pemangsa alami.
Justeru itu katanya, dengan kerjasama kerajaan negeri, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pihak swasta dan lain-lain, Jabatan Perikanan dapat melaksanakan program pengurusan dan pemuliharaan penyu serta spesies terancam dengan lancar dan berkesan.
Sokongan berkenaan diperlukan dalam bentuk kewangan, kepakaran dan tenaga kerja.
Beliau juga menegaskan, kebersihan pantai amat penting untuk hidupan laut dan orang ramai. Pantai yang bersih mampu menarik kehadiran orang ramai dan pelancong sekali gus mewujudkan peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat.
Hadir sama Ahli Dewan Negeri (ADN) Semerak YB Norsham Sulaiman, Ketua Jajahan Pasir Puteh Mohd Kamarulzaman Ab Wahab dan Pengarah Perikanan Negeri Kelantan Ismail Ibrahim.












