Accessibility Tools

Skip to main content

PLSB Sungai Golok perlu disiapkan segera demi keselamatan rakyat Tumpat – Dato’ Mumtaz

  • 08 October 2026
  • Oleh: Syamimi Manah
  • 70

KUALA LUMPUR, 8 Oktober - Projek Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok perlu dipulihkan dan disiapkan secara tuntas bagi memastikan keselamatan rakyat Tumpat, khususnya penduduk yang terjejas akibat banjir serta kelewatan pelaksanaan projek berkenaan.

Ahli Parlimen Tumpat YB Dato’ Mumtaz Md Nawi berkata, perkara itu perlu diberi perhatian serius susulan pelbagai kelemahan yang dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2026 termasuk perubahan skop, kelewatan pengambilan tanah dan peningkatan kos projek.

Menurutnya, berdasarkan sistem myProjek, PLSB Sungai Golok pada asalnya bertujuan mengurangkan risiko banjir sehingga tahap 50 ARI (Annual Recurrence Interval), selain melindungi kawasan pertanian dan pendapatan penduduk serta meningkatkan keselamatan kawasan sempadan Malaysia-Thailand.

“Kenapa berlaku peningkatan yang sebegini rupa?” soalnya ketika membahaskan LKAN 2/2026 di Dewan Rakyat, semalam.

Dato’ Mumtaz berkata, perubahan skop projek turut melibatkan pembinaan tembok penahan banjir daripada 2.5 kilometer kepada 42.5 kilometer menggunakan cerucuk kepingan keluli.

Beliau turut membangkitkan kejadian banjir besar pada Disember 2022 yang mencapai tahap 91 ARI, sedangkan reka bentuk asal PLSB disediakan bagi menghadapi banjir pada tahap 50 ARI.

Sehubungan itu, beliau meminta kerajaan menjelaskan tindakan susulan dan arahan variasi yang dibuat bagi mengemas kini reka bentuk projek, termasuk keperluan persediaan baharu sekiranya projek perlu mengambil kira banjir sehingga tahap 100 ARI.

Menurutnya, kelewatan projek turut memberi kesan kepada penduduk Kampung Simpangan dan Pengkalan Kubor yang berdepan keadaan berhabuk ketika musim panas serta banjir luar biasa ketika musim hujan.

“Ketika musim hujan, mereka mengalami banjir luar biasa kerana kerja projek masih belum disiapkan,” jelasnya.

Dato' Mumtaz berkata, isu keselamatan juga perlu diberi perhatian memandangkan penduduk pernah mengadu berdepan risiko pencerobohan dan kecurian membabitkan bot dari negara jiran ketika berlaku banjir.

Katanya lagi, keadaan banjir yang meluas turut menyukarkan penentuan sempadan dan menimbulkan implikasi terhadap keselamatan kawasan berkenaan.

Beliau turut membangkitkan kerugian RM3.2 juta susulan dua pam air yang terpaksa dirobohkan dan meminta langkah kontingensi lebih jelas disediakan bagi menghadapi perubahan keadaan serta risiko berkaitan perubahan iklim.

Dalam pada itu, beliau mahu kementerian membentangkan pelan pemulihan yang jelas merangkumi sasaran, tahap kemajuan dan tempoh penyelesaian bagi setiap isu yang dikenal pasti.

Beliau berkata, perkembangan projek juga perlu dikemas kini kepada rakyat secara berkala supaya penduduk mengetahui status sebenar pelaksanaan PLSB Sungai Golok.

Dato' Mumtaz juga meminta penjelasan berhubung pihak yang bertanggungjawab terhadap kerugian pertanian dan penempatan penduduk yang terjejas akibat kelewatan projek, selain status siasatan terhadap kelemahan pengurusan projek.

Pautan berjaya disalin!