Kelantan mohon RM606.49 juta lulus RM126.8 juta, Dato’ Siti Zailah persoal jurang peruntukan
-
08 October 2026
-
Oleh: Irham Hilmi Hashim
-
82
KUALA LUMPUR, 8 Oktober - Ahli Parlimen Rantau Panjang YB Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff membangkitkan jurang antara permohonan peruntukan penyenggaraan Jalan Persekutuan Kelantan berjumlah RM606.49 juta dengan peruntukan yang diperoleh negeri itu bagi tahun 2026.
Beliau berkata demikian ketika meminta penjelasan Menteri Kerja Raya mengenai jumlah peruntukan yang diterima Kelantan daripada RM157.15 juta bagi penyenggaraan Jalan Persekutuan Zon Tengah/Timur pada sesi Pertanyaan Lisan Dewan Rakyat, Mesyuarat Ketiga, Penggal Kelima, Parlimen Kelima Belas, semalam.
Berdasarkan jawapan Menteri Kerja Raya, permohonan Anggaran Penyenggaraan Jalan (APJ) Kelantan berjumlah RM606.49 juta bagi 859 kerja, manakala peruntukan yang diperoleh melibatkan beberapa komponen penyenggaraan.
Komponen tersebut merangkumi RM79.32 juta bagi 53 kerja berkala pavemen, RM41.74 juta bagi 123 kerja berkala bukan pavemen, RM1.73 juta bagi lima kerja penyenggaraan kecil jambatan serta RM4.07 juta bagi 36 kerja penyenggaraan lampu jalan dan lampu isyarat.
Secara keseluruhan, peruntukan bagi komponen berkenaan berjumlah kira-kira RM126.8 juta, manakala pelaksanaannya dibuat melalui Arahan Kerja konsesi dan perolehan jabatan bagi kerja elektrik.
“Adakah peruntukan yang diterima Kelantan setimpal dengan keperluan sebenar penyenggaraan jalannya?” demikian antara perkara yang dibangkitkan dalam soalan tambahan beliau berkaitan formula agihan peruntukan.
Setakat September 2026, sebanyak 158 kerja telah siap, manakala 66 kerja lagi dijangka siap pada November 2026.








