Accessibility Tools

Skip to main content

Keselamatan manusia diutamakan, pihak berwajib diminta tangani anjing liar – TMB Kelantan

  • 08 October 2026
  • Oleh: Syamimi Manah
  • 40

KOTA DARULNAIM, 8 Oktober - Keselamatan manusia, khususnya kanak-kanak dan pelajar sekolah, perlu diberi keutamaan dalam menangani isu anjing berkeliaran di Kelantan.

Timbalan Menteri Besar Kelantan YB Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, pihak berkuasa perlu mengambil tindakan yang sesuai mengikut undang-undang bagi memastikan keselamatan orang awam terjamin.

“Pihak berkuasa kena teliti perkara ini, memandangkan nyawa manusia khususnya kanak-kanak serta pelajar sekolah lebih utama. Jadi ambillah tindakan yang sesuai mengikut undang-undang demi keselamatan semua,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri Kelantan di Mabna Kota Darulnaim, di sini, semalam.

Menurutnya, kebajikan haiwan juga perlu diberi perhatian, namun keselamatan dan nyawa manusia perlu diutamakan dalam sebarang tindakan yang diambil.

Isu berkenaan mendapat perhatian susulan kejadian seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun cedera parah selepas diserang sekumpulan anjing liar di Pantai Kuala Kemasin, Bachok pada 1 Oktober lalu.

Mangsa, Azuar Firdaus Zuraiman, dilaporkan mengalami kecederaan pada bahagian kepala dan leher sebelum menerima rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu, termasuk suntikan vaksin rabies dan pemantauan selama kira-kira tiga minggu.

Mengulas lanjut, Dato’ Dr Mohamed Fadzli berkata tindakan terhadap isu anjing berkeliaran perlu dilaksanakan secara sewajarnya dengan mengambil kira keselamatan masyarakat dan peruntukan undang-undang yang berkaitan.

“Anjing pun kita kena jaga tetapi nyawa manusia lebih penting,” ujarnya.

Pautan berjaya disalin!