Jalan Lojing–Cameron Highlands dijangka dibuka semula 21 Mei
Oleh: Asri Hamat
Foto: FB YB Dato' Dr Izani
KOTA DARULNAIM, 19 Mei - Jalan Persekutuan FT185 di Pos Blau, Lojing yang terputus akibat runtuhan pada awal tahun ini dijangka dibuka semula kepada pengguna seawal 21 Mei ini menerusi pembinaan laluan lencongan sementara yang kini hampir siap.
Perkara tersebut dimaklumkan Exco Kerjaraya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar YB Dato' Dr Izani Husin di media sosial, hari ini.
Katanya, pembukaan semula laluan itu amat penting dalam memulihkan hubungan pengangkutan selain merancakkan kembali sektor ekonomi antara negeri, khususnya membabitkan sektor pertanian, pelancongan dan logistik.
“Pembukaan laluan ini sudah tentu amat penting dalam memulihkan hubungan pengangkutan serta merancakkan kembali sektor ekonomi antara Kelantan, Pahang dan Perak, khususnya melibatkan sektor pertanian, pelancongan dan logistik,” jelasnya.
Beliau turut memaklumkan, kerajaan negeri akan terus berusaha bagi memastikan isu berkenaan dapat ditangani dengan sebaiknya.
Dato' Dr Izani juga merakamkan penghargaan kepada Kementerian Kerja Raya Malaysia dan Menteri Kerja Raya atas keprihatinan serta kerjasama erat dalam menangani masalah itu.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa berhati-hati ketika melalui laluan berkenaan kerana laluan berkenaan hanya jalan sementara.
“Sentiasalah berwaspada, patuhi arahan keselamatan dan pandulah dengan cermat demi keselamatan bersama,” pesannya.
Untuk rekod, Dato' Dr Izani mengadakan lawatan bersama Menteri Kerja Raya YB Datuk Alexander Nanta Linggi ke lokasi kejadian bagi meninjau keadaan jalan terbabit, pada 2 Februari lalu.












