Accessibility Tools

Skip to main content

Mantapkan urusan kewangan agenda utama PPLRNK

Oleh: Asri Hamat

KOTA BHARU, 19 Mei - Pihak pengurusan Perbadanan Pembangunan Ladang Rakyat Negeri Kelantan (PPLRNK) kini sedang merangka pelan strategik organisasi yang lebih menyeluruh termasuk memantapkan urusan kewangan sebagai agenda utama organisasi.

Ketua Pegawai Eksekutif PPLRNK Dr Mohamad Arpi Arifin, berkata pihaknya sedang memperkemaskan kawalan kewangan, memperbaiki struktur aliran tunai, mengurangkan liabiliti yang membebankan serta memastikan setiap perbelanjaan pelaburan dibuat secara lebih berhemah, telus dan memberi pulangan optimum kepada organisasi serta rakyat.

Katanya, langkah itu penting bagi memastikan PPLRNK bukan sahaja mampu meneruskan pembayaran dividen kepada rakyat, malah dapat membina kekuatan kewangan yang lebih mampan pada masa depan.

“Langkah ini penting bagi memastikan PPLRNK bukan sahaja mampu meneruskan pembayaran dividen kepada rakyat malah dapat membina kekuatan kewangan yang lebih mampan pada masa akan datang."

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Cek Cura dan Slip Dividen Peserta Ladang Rakyat Peringkat Ke-70 di Wisma PPLRNK, Tunjong, di sini, semalam.

Dr Mohamad Arpi berkata, PPLRNK turut memberi fokus kepada aspek pengukuhan tadbir urus, peningkatan prestasi operasi ladang, pembangunan sumber pendapatan baharu serta mengoptimumkan aset tanah dalam memperkasakan model perniagaan yang lebih berdaya tahan.

Menurutnya, PPLRNK menyedari cabaran industri perladangan kini semakin kompleks berikutan ketidaktentuan ekonomi global, turun naik harga komoditi serta peningkatan kos operasi.

Katanya, sokongan ahli-ahli perbadanan, semangat kerja berpasukan, disiplin tinggi warga PPLRNK serta sokongan semua pihak mampu membawa organisasi itu ke tahap lebih baik.

“Kejayaan hari ini adalah hasil usaha sama daripada ahli-ahli Lembaga PPLRNK, pihak pengurusan, rakan strategik serta sokongan berterusan Kerajaan Negeri Kelantan yang sentiasa komited memastikan agenda pembangunan ekonomi rakyat dapat terus diperkasakan,” jelasnya.

Beliau turut menegaskan pihak pengurusan PPLRNK akan terus berusaha membina sebuah organisasi yang bukan sahaja berjaya dari sudut kewangan, malah diyakini, dihormati dan mampu memberi manfaat berterusan kepada rakyat di Kelantan.

Pautan berjaya disalin!