Laluan LTU dijangka sesak menjelang Aidiladha, perantau dinasihat rancang perjalanan
Oleh: Syamimi Manah
Foto: Media YB Hilmi
KOTA DARULNAIM, 19 Mei – Laluan Lebuhraya Lingkaran Tengah Utama (LTU) dijangka mengalami peningkatan ketara aliran trafik menjelang sambutan Hari Raya Aidiladha susulan kemasukan serentak kenderaan dari Lembah Klang, Pahang dan negeri-negeri selatan ke Kelantan melalui Gua Musang.
Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar YB Hilmi Abdullah berkata, pengguna jalan raya khususnya anak perantau dinasihatkan merancang perjalanan lebih awal dan mengelakkan waktu puncak bagi membantu mengurangkan kesesakan di laluan utama FT8 dan LTU.
Menurutnya, situasi itu dijangka berlaku berikutan cuti penggal persekolahan bermula 22 Mei hingga 7 Jun selain sambutan Aidiladha pada 27 Mei ini yang dijangka menyebabkan pertambahan mendadak jumlah kenderaan memasuki Kelantan.
Katanya lagi, LTU yang masih dalam pembinaan ketika ini turut melibatkan beberapa lencongan laluan sekali gus berpotensi menjadi “funnel point” atau lokasi tumpuan trafik utama sebelum memasuki negeri ini.
“Bagi menghadapi situasi ini, satu Mesyuarat Koordinasi Pengurusan Kesesakan Lalulintas Sempena Aidiladha telah diadakan pada 17 Mei bersama PDRM, JPJ, JKR, CSR, Majlis Daerah Gua Musang serta agensi berkaitan untuk membuat perancangan awal dan langkah mitigasi.
“Mesyuarat ini turut mengambil kira pengalaman pengurusan trafik semasa musim Aidilfitri lalu bagi memastikan penyuraian trafik dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan,” katanya di laman rasmi, pada Ahad.
Beliau menyeru pengguna jalan raya agar memulakan perjalanan selepas tengah malam atau awal pagi sebelum Subuh bagi mengelakkan kesesakan di Kampung Mentara yang menjadi pintu masuk utama ke Gua Musang.
Selain itu katanya, pengguna juga boleh memilih laluan alternatif lain ke Kelantan seperti Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2), Lebuhraya Timur-Barat serta laluan Lojing Highlands bagi mengurangkan tekanan trafik di FT8 dan LTU.
Dalam pada itu, YB Hilmi Abdullah turut menggalakkan perantau menggunakan laluan Gua Musang-Dabong-Jeli bagi mengelakkan trafik luar bercampur dengan trafik bandar yang boleh menyebabkan kesesakan lebih serius di pusat bandar Gua Musang.
“Kenderaan tempatan juga disaran mengurangkan pergerakan antara pukul 12 tengah hari hingga 5 petang bagi membantu melancarkan aliran trafik sepanjang tempoh kemuncak kemasukan perantau,” jelasnya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua agensi yang terlibat atas kerjasama dan komitmen dalam memastikan pengurusan trafik sempena musim perayaan dapat dilaksanakan dengan baik.
“Semoga perjalanan anak-anak perantau yang pulang ke kampung halaman dipermudahkan dan semua pengguna jalan raya sentiasa memandu dengan berhemah serta bersabar sepanjang perjalanan,” ujarnya.












