Pemilik ternakan diminta kawal haiwan elak risiko kemalangan musim perayaan
Oleh: Syamimi Manah
KOTA DARULNAIM, 19 Mei – Pemilik ternakan di negeri ini diminta memastikan haiwan peliharaan mereka tidak dibiarkan berkeliaran bagi mengelakkan risiko kemalangan jalan raya, khususnya menjelang musim cuti perayaan yang bakal menyaksikan peningkatan jumlah kenderaan pulang ke kampung.
Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar YB Hilmi Abdullah berkata, langkah itu penting demi menjamin keselamatan pengguna jalan raya serta mengelakkan kejadian tidak diingini melibatkan haiwan ternakan merayau.
Beliau berkata demikian selepas meninjau kandang lembu milik Majlis Daerah Gua Musang (MDGM) pada Ahad lalu.
Menurutnya, sebanyak 11 ekor lembu berjaya ditangkap oleh pihak penguatkuasa menerusi Operasi Haiwan Merayau dalam kawasan operasi MDGM.
Tangkapan itu ditempatkan sementara di kandang berkenaan sementara menunggu tamat tempoh Notis Tuntutan di bawah Seksyen 4(1) Undang-Undang Kecil (UUK) Haiwan Merayau Majlis Daerah Gua Musang.
“Insya Allah selepas tamat tempoh tersebut, pihak MDGM akan melaksanakan lelongan awam sebagaimana diperuntukkan di bawah Seksyen 5 Undang-Undang Kecil (UUK) berkaitan atau tindakan pelupusan oleh Yang Dipertua MDGM,” katanya menerusi laman rasmi, pada Isnin.
Beliau turut memohon kerjasama semua pemilik lembu dan kerbau supaya lebih bertanggungjawab dalam menjaga ternakan masing-masing daripada merayau di sekitar jalan raya dan tempat awam.
Katanya, keadaan itu boleh mengundang bahaya kepada pengguna jalan raya terutama perantau yang mula pulang berhari raya bermula minggu depan.
Tambahnya, operasi penguatkuasaan seperti itu akan terus dipergiat dari semasa ke semasa sebagai langkah pencegahan serta memastikan ketenteraman dan keselamatan awam sentiasa terpelihara.












