Accessibility Tools

Skip to main content

Tajaan RM10,000 bantu Juara Piala MB sertai Liga A3

Oleh: Irham Hilmi Hashim
Foto: Media Exco

KOTA BHARU, 19 Mei — Kerajaan Negeri Kelantan memperuntukkan tajaan RM10,000 bagi membantu Johan dan Naib Johan Piala Menteri Besar (MB) menyertai Liga A3 musim ini sebagai usaha memperkukuh pembangunan bola sepak akar umbi ke peringkat lebih kompetitif.

Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat YB Zamakhshari Muhamad berkata, bantuan menerusi peruntukan exco itu mencerminkan komitmen kerajaan negeri dalam membuka laluan kepada pasukan terbaik Liga Elit DUN (LED) Kelantan untuk melangkah ke tahap lebih tinggi secara lebih tersusun.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pelancaran Kejohanan Bola Sepak Liga Elit DUN Negeri Kelantan Musim 2026 di H-Elite Tunjong, di sini, semalam.

Menurutnya, meskipun Liga A3 Kelantan tidak dapat dianjurkan tahun lalu, pihak penganjur memaklumkan kejohanan tersebut dijangka kembali berlangsung pada tahun ini.

“Sebagaimana janji sebelum ini, kerajaan negeri melalui peruntukan Exco akan menaja RM10,000 bagi membantu pemenang Piala MB menyertai Liga A3.

“Tajaan ini terbuka kepada Johan dan Naib Johan Piala MB sebagai bantuan penyertaan bagi memperkukuh lagi pembangunan bola sepak negeri,” jelasnya.

Beliau juga memaklumkan, LED ialah medan membina disiplin, semangat berpasukan, ukhuwah dan kepimpinan dalam kalangan anak muda.

Menurutnya, kerajaan negeri mahu menjadikan padang bola sepak sebagai ruang melahirkan generasi muda yang berjati diri, berdisiplin dan memiliki karakter positif.

“Ini adalah ruang untuk anak muda mengekspresikan bakat mereka. Kita mahu lebih ramai pemain berbakat dari kampung dan DUN diketengahkan sehingga mampu melangkah ke peringkat lebih tinggi,” tegasnya.

Tambahnya, ramai pemain berbakat negeri bermula daripada pertandingan akar umbi termasuk pemain Kelantan WTS FC yang pernah beraksi di peringkat DUN sebelum menyerlah di pentas lebih tinggi.

Dalam perkembangan sama, beliau memberi jaminan bahawa kerajaan negeri terus memberi perhatian terhadap pembangunan infrastruktur sukan menerusi agenda Satu DUN Satu Padang Bola.

Katanya lagi, lebih 85 peratus DUN di Kelantan kini memiliki padang bola sepak yang sempurna, manakala beberapa kawasan lain masih menggunakan padang sekolah dan kemudahan sedia ada untuk aktiviti setempat.

“Kerajaan negeri akan memberi perhatian serius supaya setiap DUN mempunyai padang bola sepak yang selesa demi kelangsungan pembangunan sukan anak muda,” ujarnya.

Beliau turut menjelaskan syarat penyertaan LED musim ini diperketatkan dengan menetapkan pemain mestilah berdaftar sebagai pemilih di DUN atau Parlimen yang diwakili bagi memastikan persaingan lebih adil dan seimbang.

Langkah itu bertujuan memberi peluang lebih saksama kepada anak muda tempatan menonjolkan bakat tanpa perlu bersaing dengan pemain luar yang diimport.

Dalam masa sama, beliau berkata kerajaan negeri sedang mempertimbangkan pembinaan litar motorcross di Pasir Puteh sebagai sebahagian usaha memperluas pembangunan sukan belia.

“Apabila anak muda sibuk dengan aktiviti bermanfaat, mereka akan terhindar daripada gejala sosial seperti penyalahgunaan dadah, lumba haram dan budaya lepak.
“Kita mahu tenaga dan semangat anak muda disalurkan kepada perkara positif serta memberi manfaat kepada masyarakat,” katanya.

Beliau turut mengingatkan semua pemain dan pengurusan pasukan agar menjaga disiplin, akhlak serta semangat kesukanan sepanjang kejohanan berlangsung.

“Tahun lalu kejohanan berjalan dengan baik walaupun terdapat beberapa insiden kecil akibat emosi perlawanan.

“Namun budaya negatif seperti pergaduhan tidak boleh dinormalisasikan dan pengurusan pasukan perlu memainkan peranan penting dalam mengawal pemain,” katanya.

Beliau berharap LED Kelantan Musim 2026 berjalan lancar dan terus menjadi platform terbaik dalam memperkukuh pembangunan sukan, perpaduan masyarakat serta pembangunan belia negeri.

Pautan berjaya disalin!