Accessibility Tools

Skip to main content

Gotong-Royong Perdana LA21 pupuk kesedaran kebersihan komuniti

Oleh: Irham Hilmi Hashim

TANAH MERAH, 18 Mei — Program Gotong-Royong Perdana Local Agenda 21 (LA21) Tahun 2026 di Bandar Baru Bukit Bunga berjaya memupuk kesedaran kebersihan komuniti menerusi penglibatan aktif masyarakat setempat dalam usaha menjaga kebersihan dan menceriakan persekitaran.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Bunga YB Mohd Almidi Jaafar berkata, program berkenaan menjadi platform penting dalam memperkukuhkan hubungan komuniti melalui penglibatan pelbagai pihak dalam aktiviti kemasyarakatan.

Menurutnya, budaya gotong-royong perlu terus diperkasa kerana mampu mewujudkan persekitaran yang lebih bersih, ceria dan selesa untuk didiami masyarakat.

“Program seperti ini bukan sahaja memberi manfaat dari sudut kebersihan kawasan, malah dapat mengeratkan ukhuwah serta semangat kebersamaan dalam kalangan penduduk setempat,” katanya dalam media sosial, Sabtu lalu.

Program berkenaan dirasmikan Timbalan Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar YB Dato’ Abdul Rahman Yunus yang turut turun padang menyantuni rakyat serta menyertai aktiviti gotong-royong yang berlangsung pada 14 Mei.

Turut hadir, Ketua Jajahan Tanah Merah Wan Ahmad Suwaidi Zainal Abidin bagi menyokong usaha memperkukuhkan agenda kebersihan dan kesejahteraan komuniti setempat.

Menurutnya, usaha berterusan melalui program seumpama itu diharap dapat menyemai kesedaran masyarakat supaya lebih prihatin terhadap kebersihan persekitaran selain terus berganding bahu menjayakan aktiviti komuniti.

Pautan berjaya disalin!