Accessibility Tools

Skip to main content

Ilmu kekeluargaan harus dikuasai ibu bapa - Exco Pembangunan Keluarga

Oleh: Syamimi Manah
Kredit foto: Media Dato' Rohani

KOTA DARULNAIM, 18 Mei – Ilmu kekeluargaan dan keibubapaan perlu dikuasai secara bersama oleh ibu bapa bagi mewujudkan institusi keluarga yang seimbang serta harmoni.

Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita YB Dato' Rohani Ibrahim berkata, penglibatan bapa dalam program berkaitan keibubapaan dan pembangunan keluarga amat penting kerana tanggungjawab mendidik anak bukan hanya dipikul oleh ibu semata-mata.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Bengkel Komunikasi Kreatif: Smart Parenting 2026 yang melibatkan 91 peserta di Dewan Bunga Teratai, Kompleks Kota Darulnaim, semalam.

“Ilmu parenting ini harus dikuasai oleh dua-dua pihak, lelaki dan perempuan, suami dan isteri, ayah dan ibu. Barulah orang panggil seimbang dan segala masalah dalam keluarga boleh diselesaikan bersama.

“Kalau hanya seorang sahaja hadir kursus, ilmu yang diperoleh itu perlu dikongsi dengan pasangan di rumah supaya manfaatnya dapat dirasai bersama,” jelasnya.

Beliau turut menegaskan bahawa ibu bapa tidak pernah menjadi manusia yang sempurna, namun perlu sentiasa belajar dan berusaha untuk menjadi pasangan serta ibu bapa terbaik kepada anak-anak.

“Kita kena sentiasa belajar dan mencari ilmu untuk memperbaiki diri. Yang penting kita ada target untuk jadi suami isteri yang terbaik dan ibu bapa yang terbaik kepada anak-anak,” ujarnya.

Tambahnya, program seperti itu merupakan antara usaha Kerajaan Negeri Kelantan dalam membentuk keluarga Sakinah, Mawaddah Wa rahmah walaupun dilaksanakan dalam skala kecil.

“Walaupun hari ini hanya melibatkan 91 peserta, tetapi ini satu permulaan yang baik untuk mewujudkan suasana keluarga yang lebih harmoni dalam masyarakat,” katanya.

Dalam pada itu, Dato' Rohani turut mengingatkan para ibu bapa supaya sentiasa mendidik anak-anak dengan doa, kasih sayang dan pendekatan berhikmah.

“Allah SWT mengurniakan anak sebagai amanah yang besar. Kita perlu sentiasa berdoa agar dikurniakan zuriat soleh dan solehah serta jangan sesekali menganggap anak sebagai beban kehidupan,” katanya.

Beliau juga berkongsi beberapa ciri ibu bapa “smart” antaranya saling mendengar dan menghormati antara suami isteri, menegur dengan hikmah, menjadi rakan kepada anak-anak remaja serta sentiasa mendidik anak agar menjaga solat dan membaca al-Quran.

Program anjuran Urus Setia Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita (UKeKWa) itu turut menampilkan Slot Komunikasi Kreatif Keluarga Bahagia yang dikendalikan Pakar Perunding Psikiatri Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) Prof Madya Dr Asrenee Ab Razak selain slot Permasalahan Remaja dan Penyelesaian oleh Pengarah Urusan BTOP Wellness Sdn Bhd Rudie Ya'akub.

Pautan berjaya disalin!