100 anak yatim di Kemuning terima skim pendidikan
Oleh: Irham Hilmi Hashim
MACHANG, 18 Mei – Sebanyak 100 anak yatim di kawasan Kemuning menerima Bantuan Skim Pendidikan Anak Yatim daripada Kerajaan Negeri Kelantan yang berlangsung di Pusat Khidmat DUN Kemuning, semalam.
Sumbangan tersebut disampaikan oleh Ahli Dewan Negeri(ADN) Kemuning YB Ahmad Zakhran Mat Noor.
YB Ahmad Zakhran berkata, bantuan tersebut merupakan antara usaha kerajaan negeri dalam memastikan kebajikan serta pendidikan anak-anak yatim terus diberi perhatian.
Menurutnya, golongan anak yatim perlu disantuni dan dibantu agar mereka dapat meneruskan kehidupan serta pendidikan dengan lebih baik.
Beliau turut mengingatkan mengenai ganjaran besar yang dijanjikan kepada mereka yang memelihara dan menyantuni anak yatim sebagaimana disebut dalam hadis riwayat Bukhari;
“Aku dan orang yang memelihara anak yatim akan berada di syurga seperti ini,” katanya sambil merujuk kepada hadis Rasulullah SAW yang menunjukkan jari telunjuk dan jari tengah yang dirapatkan."
Menurutnya, bantuan yang disalurkan itu diharap dapat dimanfaatkan sebaiknya oleh para penerima bagi keperluan pendidikan dan kebajikan mereka.
“Program ini tentunya menjadi medium mendekati masyarakat serta menyemarakkan budaya prihatin terhadap golongan yang memerlukan khususnya anak-anak yatim di kawasan DUN Kemuning,” ujarnya.












