Kadar hipertensi Kelantan 27.9 peratus, lebih rendah berbanding nasional
Oleh: Asri Hamat
KOTA DARULNAIM, 18 Mei — Kadar penghidap hipertensi atau tekanan darah tinggi di Kelantan direkodkan sekitar 27.9 peratus, iaitu 1.3 peratus lebih rendah berbanding kadar nasional sebanyak 29.2 peratus, namun masih memerlukan perhatian serius berikutan risiko komplikasi kesihatan yang boleh mengancam nyawa.
Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar YB Hilmi Abdullah berkata, berdasarkan Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS), hampir 29.2 peratus rakyat dewasa di negara ini menghidap hipertensi melibatkan lebih enam juta penduduk.
Menurutnya, meskipun kadar di Kelantan lebih rendah berbanding purata nasional, ancaman penyakit tersebut tidak boleh dipandang ringan kerana hipertensi sering berlaku tanpa gejala jelas.
“Hipertensi dikenali sebagai pembunuh senyap kerana ramai pesakit tidak menyedari mereka menghidapinya sehingga berlaku komplikasi seperti strok, serangan jantung, kegagalan buah pinggang dan penyakit jantung,” katanya menerusi media sosial sempena Sambutan Hari Hipertensi Sedunia 2026, semalam.
Sehubungan itu, beliau menyeru masyarakat agar meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan pemeriksaan tekanan darah secara berkala selain mengamalkan gaya hidup sihat sebagai langkah pencegahan awal.
Beliau turut menyaran orang ramai mengurangkan pengambilan garam dan gula, mengamalkan pemakanan seimbang, kekal aktif bersenam, berhenti merokok serta menjalani pemeriksaan kesihatan secara berkala.
“Ukur Tekanan Darah Anda, Lindungi Nyawa Anda,” katanya.
Untuk rekod, Sambutan Hari Hipertensi Sedunia diraikan setiap tahun bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai bahaya tekanan darah tinggi serta kepentingan pengesanan awal dalam mengurangkan risiko komplikasi kesihatan serius.








