Accessibility Tools

Skip to main content

Pendidikan dan pembentukan sahsiah pelajar diperkasa seiring perkembangan semasa

Oleh: Syamimi Manah
Kredit foto: Media Dato' Wan Roslan

KOTA BHARU, 17 Mei – Pendidikan dan pembentukan sahsiah pelajar perlu terus diperkasa seiring perkembangan semasa bagi melahirkan generasi yang cemerlang dalam akademik serta tarbiah Islam.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi YB Dato Wan Roslan Wan Hamat berkata, usaha tersebut memerlukan kerjasama berterusan antara pihak pentadbir sekolah dan kerajaan negeri dalam memastikan agenda pendidikan Islam di Kelantan terus diperkukuhkan dari semasa ke semasa.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan sesi pertemuan bersama pentadbir Maahad Muhammadi Perempuan (MMP) yang berlangsung di bilik mesyuarat sekolah berkenaan, hari ini.

Menurutnya pertemuan tersebut menjadi ruang perbincangan serta perkongsian pandangan berkaitan pelbagai isu melibatkan pengurusan dan pembangunan sekolah.

"Antara perkara yang dibincangkan melibatkan isu pengurusan dan pembangunan sekolah, termasuk hal ehwal pelajar, kebajikan warga sekolah, kemudahan pendidikan serta beberapa perkara lain berkaitan usaha memperkukuh kecemerlangan institusi pendidikan Islam di Negeri Kelantan" katanya di laman rasmi.

Tambahnya, segala pandangan dan cadangan yang dikemukakan diharap dapat membantu memperkasakan lagi sistem pendidikan Yayasan Islam Kelantan (YIK).

“Semoga segala perbincangan dan pandangan yang dikemukakan dapat membantu memperkasakan lagi sistem pendidikan YIK demi melahirkan generasi pelajar yang cemerlang dalam akademik, sahsiah dan tarbiah Islam,” ujarnya.

Dalam pada itu, Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita YB Dato' Rohani Ibrahim turut hadir menyampaikan hadiah sempena sambutan Hari Guru sebagai tanda penghargaan kepada warga pendidik atas jasa dan pengorbanan mereka dalam mendidik anak bangsa.

Pautan berjaya disalin!