Accessibility Tools

Skip to main content

Khemah Rehlah tambah tarikan riadah keluarga di Kale Pok Kie

Oleh: Irham Hilmi Hashim
Kredit foto: Media ADN

JELI, 17 Mei — Penyediaan kemudahan khemah rehlah di Pengkalan (Kale) Pok Kie dijangka menjadi nilai tambah kepada tarikan riadah keluarga di kawasan perkelahan itu, sekali gus meningkatkan keselesaan pengunjung dan merancakkan pelancongan komuniti setempat.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Kuala Balah YB Dato’ Abdul Hadi Awang Kechil berkata, penyediaan kemudahan perlindungan kalis air  dan pemasangan yang pantas itu merupakan sebahagian daripada usaha Kerajaan Negeri Kelantan menerusi portfolio Exco Pelancongan dalam memperkasa fasiliti rekreasi agar lebih mesra pengunjung.

Beliau berkata demikian ketika hadir merasmikan Program Rehlah KITABINA@Kale Pok Kie dan Majlis Penyerahan Khemah Rehlah yang dihadiri lebih 100 peserta dari pelbagai peringkat usia, semalam.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Kuala Balah, YB Dato’ Abdul Hadi Awang Kechil

Menurutnya, kemudahan berkenaan mampu memberi keselesaan kepada pengunjung bahkan berpotensi menjadikan Kale Pok Kie sebagai lokasi pilihan bagi penganjuran program hari keluarga melibatkan agensi kerajaan, pertubuhan mahupun pihak swasta.

“Penyediaan khemah rehlah ini diharap dapat dimanfaatkan sebaiknya oleh masyarakat setempat dan pengunjung luar sebagai ruang riadah yang lebih selesa dan tersusun,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada KITABINA selaku Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang bekerjasama dengan pengusaha tapak perkelahan Deris Che Sof, 62, atau lebih dikenali sebagai Pok Kie atas komitmen berterusan menyediakan kemudahan kepada pengunjung sehingga lokasi itu semakin dikenali ramai.

Katanya, keindahan alam semula jadi dengan aliran air yang jernih dan suasana nyaman menjadikan Kale Pok Kie antara destinasi riadah pilihan masyarakat untuk meluangkan masa bersama keluarga.

“Usaha menganjurkan program rehlah seperti yang KITABINA laksanakan ini dengan kerjasama PKD Kuala Balah dan Kale Pok Kie wajar diteruskan dan dicontohi kerana aktiviti sihat ini memberi manfaat kepada masyarakat, sekali gus menyokong pembangunan ekonomi setempat melalui sektor pelancongan komuniti,” jelasnya.

Beliau turut mengingatkan pengunjung agar sentiasa menjaga kebersihan kawasan rekreasi sebagai tanda kesyukuran terhadap nikmat alam yang dikurniakan.

Katanya, peminat aktiviti riadah bersama keluarga dan sahabat handai perlu memastikan kawasan persekitaran sentiasa bersih selepas beraktiviti sama ada di pusat rekreasi persendirian mahupun lokasi di bawah seliaan Majlis Daerah Jeli (MDJ) seperti Pusat Rekreasi Dendong, Batu Melintang.

Pautan berjaya disalin!