Accessibility Tools

Skip to main content

Pemangku Raja Kelantan kurnia RM50,000 Tabung Save Palestin kepada MyCARE

Oleh: Asri Hamat

KOTA BHARU, 17 Mei — Yang Maha Mulia Pemangku Raja Kelantan Tengku Muhammad Fakhry Petra Ibni Almarhum Sultan Ismail Petra berkenan mengurniakan sumbangan Tabung Save Palestin berjumlah RM50,000 kepada Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) dalam satu majlis di sebuah hotel di sini, pada Sabtu.

Sumbangan itu diterima Pengerusi MyCARE Dato' Seri Ir. Kamal Nasharuddin Mustapha untuk disampaikan kepada rakyat Palestin yang berdepan penderitaan akibat krisis kemanusiaan.

Dato' Seri Ir. Kamal Nasharuddin menzahirkan rasa syukur atas pengurniaan sumbangan berkenaan dan menyifatkannya sebagai lambang keprihatinan institusi diraja terhadap usaha kemanusiaan, kebajikan serta kesejahteraan rakyat.

“Junjung kasih Tuanku atas perkenan bersama rakyat menyokong usaha murni seperti ini serta memberi kepercayaan kepada kami untuk terus berkhidmat,” katanya ketika berucap pada majlis tersebut.

Beliau memaklumkan bahawa MyCARE merupakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kemanusiaan yang berdaftar sejak 2010 dan membantu mangsa bencana alam, krisis kemanusiaan, peperangan serta golongan miskin tegar di Malaysia dan 24 negara lain.

Katanya, sehingga tahun ini, MyCARE sudah mengagihkan bantuan melebihi RM233 juta, termasuk RM29.1 juta yang disalurkan ke Gaza, Palestin dalam tempoh dua tahun bermula 7 Oktober 2023 hingga 7 Oktober 2025.

“Antara projek yang dilaksanakan melalui ibu pejabat MyCARE di Gaza ialah bantuan makanan, bantuan perubatan, bekalan air bersih, penempatan sementara, bantuan selain makanan seperti tilam, lampin dan pakaian, bantuan pendidikan, bantuan pemulihan awal serta bantuan anak yatim,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jajahan Gua Musang Mohd Roshdi Ismail berkata, Tabung Save Palestine dilancarkan oleh Yang Maha Mulia Pemangku Raja Kelantan pada 2024 sempena keberangkatan baginda ke  program “Walk With Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Kelantan”.

Katanya, hasil keprihatinan Yang Maha Mulia Pemangku Raja Kelantan terhadap rakyat Palestin, tabung berkenaan berjaya mengumpulkan sumbangan awal sebanyak RM40,000 daripada orang ramai.

“Melihat sambutan luar biasa dan semangat rakyat yang tidak pernah luntur dalam membantu perjuangan kemanusiaan, Yang Maha Mulia Tuanku kemudian menitahkan agar usaha ini diteruskan sehingga tabung mencapai sasaran RM50,000.

“Alhamdulillah, pada hari yang penuh berbahagia ini, dengan izin Allah SWT dan berkat titah serta keprihatinan Yang Maha Mulia Tuanku, Tabung Save Palestine akhirnya berjaya mencapai sasaran RM50,000 sebagaimana dihasratkan,” katanya ketika memberi ucapan alu-aluan dalam majlis tersebut.

Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa MyCARE mampu menyalurkan amanah berkenaan kepada rakyat Palestin yang memerlukan berdasarkan rekod prestasi organisasi itu sebelum ini.

Mudah-mudahan amanah besar yang dititipkan oleh para penyumbang ini dapat dilaksanakan dengan penuh integriti dan keikhlasan yang sebaik-baiknya,” katanya.

Turut hadir, Penasihat Undang-Undang Negeri Kelantan YB Tuan Zawawi Ghazali, Pegawai Kewangan Negeri Kelantan, YB Dato' Rosnazli Amin, Pengelola Istana Kelantan YB Brigedier Jeneral Dato' Perwira Raja Dato'  Nik Mohd Shafriman Nik Hassan dan Ketua Polis Kelantan Dato' Mohd Yusof Mamat.

Pautan berjaya disalin!