Accessibility Tools

Skip to main content

22 petani Pulai Chondong terima bantuan peralatan pertanian

Oleh: Irham Hilmi Hashim

MACHANG, 17 Mei — Sejumlah 22 petani di Pulai Chondong menerima bantuan peralatan pertanian sebagai usaha memperkasa sektor pertanian serta meningkatkan produktiviti hasil tanaman di kawasan berkenaan dalam satu program penyerahan yang berlangsung di Pusat Khidmat DUN Pulai Chondong, Khamis lalu.

Penyerahan bantuan disampaikan oleh  Ketua Pegawai Tadbir DUN Pulai Chondong Mansor Mohamed mewakili Ahli Dewan Negeri (ADN) Pulai Chondong YB Azhar Salleh.

Sehubungan itu, YB Azhar berkata, inisiatif tersebut merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Kerajaan Negeri Kelantan dalam memastikan golongan petani terus diberi perhatian melalui pelbagai bentuk sokongan dan bantuan.

Menurutnya, bantuan yang disalurkan bukan sahaja bertujuan meringankan beban petani, malah menjadi pemangkin kepada peningkatan hasil pengeluaran yang memberi manfaat langsung kepada pendapatan keluarga serta pembangunan ekonomi setempat.

“Kerajaan negeri sentiasa cakna dan komited dalam memastikan kebajikan petani terus terbela melalui pelbagai bentuk sokongan dan bantuan yang disalurkan dari semasa ke semasa,” katanya menerusi media sosial, pada Jumaat.

Menurutnya, sektor pertanian kekal sebagai antara tunjang utama ekonomi rakyat di negeri ini dan perlu terus diperkukuh melalui sokongan berterusan termasuk penyediaan peralatan serta bantuan teknikal kepada petani.

Tambahnya, antara peralatan yang diserahkan kepada penerima termasuk mesin rumput, mesin gergaji, pam racun, mesin tabur benih, pam air serta dawai duri pagar yang dijangka dapat membantu meningkatkan kecekapan kerja pertanian.

Beliau berharap agar semua penerima dapat memanfaatkan bantuan tersebut sebaik mungkin bagi meningkatkan hasil pertanian masing-masing seterusnya memperkukuh ekonomi keluarga dan negeri.

Pautan berjaya disalin!