Accessibility Tools

Skip to main content

Pidato Prof Dr Abdul Somad himpunkan ribuan umat

Oleh: Irham Hilmi Hashim

TUMPAT, 17 Mei – Program Pidato Perdana Da’i Nusantara yang menampilkan pendakwah terkenal Indonesia Prof Dr Ustaz Abdul Somad menghimpunkan ribuan umat Islam dari Kelantan dan Selatan Thailand di Pantai Sri Tujuh, Pengkalan Kubor, Khamis lalu.

Program itu turut disertai pelajar sekolah pondok dan tahfiz dari wilayah Narathiwat, Patani dan Yala yang memenuhi kawasan program sejak awal petang.

Timbalan Menteri Besar Kelantan YB Dato' Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, kehadiran ribuan pengunjung termasuk dari Selatan Thailand membuktikan masyarakat Islam masih dahagakan pengisian ilmu dan seruan penyatuan ummah.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, YB Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan

Menurutnya, program tersebut dirancang dalam tempoh singkat kira-kira seminggu lalu, namun tetap mendapat sambutan luar biasa daripada masyarakat pelbagai peringkat.

“Lebih mengejutkan ramai yang datang dari Selatan Thailand bagi mengikuti pidato Da'i Nusantara Prof Dr Abdul Somad dari Batu Bara, Sumatera, Indonesia,” katanya ketika berucap pada program berkenaan.

Menurutnya, umat Islam wajib kembali merapatkan saf perjuangan dan menghentikan segala bentuk pertelingkahan yang melemahkan kekuatan ummah.

"Perbezaan pandangan tidak seharusnya dijadikan alasan untuk bermusuhan, mencaci atau berpecah-belah sesama saudara seakidah sehingga melupakan agenda besar membina izzah Islam dan mempertahankan umat.

"Musuh Islam sentiasa berusaha melemahkan umat, namun keadaan menjadi lebih membimbangkan apabila umat Islam sendiri terperangkap dalam budaya saling menyerang, membuka aib dan menimbulkan perpecahan hanya disebabkan perkara kecil yang tidak membawa manfaat kepada perjuangan Islam," jelasnya.

Beliau menegaskan, kekuatan sebenar umat terletak pada kesatuan hati, kesatuan fikrah dan kesatuan saff yang dibina atas dasar aqidah dan perjuangan.

Menurutnya lagi, sejarah tamadun Islam membuktikan banyak kerajaan Islam runtuh bukan disebabkan kelemahan bilangan, sebaliknya akibat perpecahan dalaman, perebutan kuasa, hilangnya ukhuwah dan lunturnya semangat perjuangan.

“Ketika umat Islam bersatu atas dasar aqidah dan perjuangan, mereka dihormati dan memimpin dunia. Namun apabila penyakit al-wahan meresap ke dalam jiwa iaitu cintakan dunia dan takut mati, umat menjadi lemah dan mudah dipermainkan musuh,” katanya.

Beliau turut menyeru gerakan Islam dan seluruh umat agar kembali membina kesatuan, memperkukuhkan thiqah serta menghidupkan ruh tarbiah dalam perjuangan.

Tambahnya, titik perbezaan tidak wajar diperbesar sehingga melupakan persamaan yang jauh lebih besar demi memartabatkan Islam dan menyatukan kekuatan ummah.

Dato' Mohamed Fadzli turut merakamkan penghargaan kepada Prof Dr Abdul Somad atas taujihat dan tausiyyah yang disampaikan sepanjang program tersebut.

Beliau berharap segala nasihat dan peringatan yang disampaikan menjadi asbab kepada kebangkitan kesedaran, penyatuan saff dan pengukuhan ukhuwah Islamiyyah dalam kalangan umat Islam seluruhnya.

Pautan berjaya disalin!