Projek terung Muhammad Sopyyullah jadi inspirasi belia Guchil
Oleh: Syamimi Manah
Kredit foto: Media ADN Guchil
KUALA KRAI, 17 Mei – Projek tanaman terung yang diusahakan seorang pemuda Kampung Jeram Batu Muhammad Sopyyullah Mohamad Lawi, 26, kini menjadi inspirasi kepada golongan belia di DUN Guchil untuk menceburi bidang pertanian secara lebih serius.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Guchil YB Hilmi Abdullah berkata, usaha anak muda tersebut membuktikan sektor pertanian mempunyai potensi besar untuk menjana pendapatan selain mampu membuka peluang ekonomi kepada masyarakat setempat.
Beliau berkata demikian selepas meluangkan masa bersama wakil belia kawasan itu meninjau projek tanaman terung di Cawangan Bechah Salak, semalam.
Menurutnya, tanaman yang diusahakan di kawasan seluas kira-kira 1.7 ekar itu kini berusia sekitar dua bulan dan dijangka mula mengeluarkan hasil pada awal Julai nanti.
“Insya-Allah, kita akan sokong dan melihat bentuk bantuan yang sesuai untuk saudara Sofiyullah sebagai motivasi kepada anak-anak muda di kampung untuk terlibat dalam bidang pertanian dan penternakan,” katanya menerusi kenyataan di laman rasmi hari ini.
Tambahnya, penglibatan golongan muda dalam sektor agromakanan perlu terus diperkasakan kerana bidang tersebut mampu menjadi sumber pendapatan yang stabil jika diusahakan secara konsisten dan terancang.
Beliau yang juga Exco Kerajaan Negeri Kelantan turut berharap lebih ramai belia di kawasan luar bandar tampil memanfaatkan tanah yang ada dengan aktiviti pertanian dan penternakan demi meningkatkan taraf ekonomi keluarga serta komuniti setempat.












