Tujuh keluarga di DUN Kemahang terima manfaat Skim Bantuan Rumah Dhuafat
-
26 November 2026
-
Oleh: Asri Hamat | Kredit foto: FB YB Dato' Mejar Anizam
-
36
KOTA DARULNAIM, 26 November - Sebanyak tujuh keluarga di Dewan Negeri (DUN) Kemahang menerima manfaat menerusi Skim Bantuan Rumah Dhuafat bagi tahun ini, membabitkan pembinaan empat buah rumah baharu dan kerja-kerja baik pulih tiga buah rumah.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Kemahang yang juga Exco Kerajaan Negeri YB Mejar (B) Dato' Md Anizam Ab Rahman berkata, pelaksanaan inisiatif itu merupakan sebahagian daripada komitmen Kerajaan Negeri Kelantan dalam membantu golongan yang memerlukan.
Menurutnya, bantuan berkenaan khususnya diberikan bagi membantu keluarga yang berdepan kesukaran untuk memiliki kediaman yang selamat dan selesa.
Katanya, rumah bukan sekadar tempat berteduh, sebaliknya menjadi asas kepada kehidupan berkeluarga yang lebih baik.
"Dengan pembinaan rumah baharu serta kerja-kerja baik pulih yang dilaksanakan diharap dapat memberikan keselesaan selain meringankan beban keluarga penerima," katanya menerusi media sosial, pada Rabu.
Beliau menegaskan, usaha menjaga kebajikan rakyat akan terus diberikan perhatian bagi memastikan golongan yang memerlukan mendapat pembelaan sewajarnya.
Beliau turut berharap setiap rumah yang dibina dan dibaik pulih itu menjadi tempat berteduh yang membawa kebahagiaan, ketenangan dan keberkatan kepada seluruh keluarga penerima.












