Industri hotel perlu perkukuhkan hospitaliti, hadapi lonjakan pelancong 2027 - Timbalan Exco Pelancongan
-
25 November 2026
-
Oleh: Irham Hilmi Hashim
-
44
KOTA BHARU, 25 November – Industri perhotelan di Kelantan perlu memperkukuhkan kemahiran dan kualiti perkhidmatan bagi menghadapi jangkaan peningkatan kedatangan pelancong ke negeri ini menjelang 2027.
Timbalan Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan yang juga Ahli Dewan Negeri (ADN) Jelawat YB Zameri Mat Nawang berkata, persediaan itu penting bagi memastikan pengusaha dan pekerja hotel mampu menyediakan pengalaman penginapan terbaik kepada pengunjung.
"Kemahiran dalam bidang hospitaliti perlu diasah secara berterusan melalui latihan praktikal dan amalan kerja harian, bukan sekadar bergantung kepada pengetahuan sedia ada.
“Seperti sukan bola sepak atau Muay Thai, kemahiran layanan pelanggan perlu sentiasa dilatih dan diamalkan. Jika tidak dipraktikkan secara berterusan, sikap atau sambutan akan terasa kekok dan tidak natural apabila berdepan tetamu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penutup Program MyBHA Hospitality Skills 2026 di Dewan Citra Kadok, Hotel Citra Kadok & Banquets Hall, di sini, hari ini, mewakili Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan, Alam Sekitar, Pelancongan dan Kesenian YB Hilmi Abdullah.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada pihak penganjur serta semua peserta yang menyertai program berkenaan dan berharap latihan itu menjadi permulaan kepada usaha meningkatkan mutu perkhidmatan masing-masing.
Tambahnya, peserta perlu mengamalkan kemahiran yang dipelajari bagi memastikan setiap tetamu menerima layanan mesra dan profesional sepanjang berada di Kelantan.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan kedatangan pelancong ke Kelantan dijangka terus meningkat pada 2027, dengan angka yang disebut mencecah sekitar 12.95 juta pelancong.
Jumlah berkenaan merangkumi kira-kira 12 juta pelancong domestik dan 650,000 pelancong antarabangsa, berbanding sekitar 595,000 pelancong antarabangsa sebelum ini.
Menurutnya lagi, perkembangan infrastruktur termasuk laluan Central Spine Road (CSR), ECRL, peningkatan akses jalan raya serta kemajuan lapangan terbang dijangka menyokong pertambahan kedatangan pelancong ke negeri ini.
Sehubungan dengan itu, pengusaha hotel perlu memastikan kemudahan penginapan sentiasa berada dalam keadaan baik bagi memenuhi keperluan pengunjung.
“Walaupun kebanyakan pelancong menghabiskan masa berjalan-jalan dari pagi hingga malam, keperluan asas seperti tidur yang selesa, bilik bersih dan kemas serta tiada gangguan amat penting,” jelasnya.
Beliau turut mengingatkan pengusaha hotel supaya bersedia menghadapi persaingan, termasuk daripada penginapan tidak berdaftar, dengan menawarkan kemudahan dan perkhidmatan berkualiti.
Tegasnya, pengalaman positif sepanjang penginapan mampu mendorong pelancong berkongsi pengalaman mereka kepada orang lain, sekali gus membantu mempromosikan Kelantan sebagai destinasi pelancongan.
Dalam pada itu, beliau menyifatkan warga industri perhotelan termasuk kakitangan hotel dan pemandu pelancong sebagai duta kecil yang memainkan peranan membentuk imej negeri di mata pengunjung.
“Kerajaan negeri sentiasa menyokong persatuan-persatuan industri perhotelan dan pelancongan secara menyeluruh kerana semua pihak memainkan peranan penting memajukan sektor pelancongan Kelantan,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Hotel Bajet dan Bisnes Malaysia (MyBHA) Kelantan Masdiyah Jemain berkata, Program MyBHA Hospitality Skills 2026 bertemakan “Ilmu Diperkasa, Hospitaliti Berkualiti” dianjurkan bagi memperkukuh ilmu serta meningkatkan kemahiran dalam industri hospitaliti.
Menurutnya, program itu memberi peluang kepada pengusaha hotel, pengurus, penyelia dan kakitangan operasi meningkatkan pengetahuan serta standard perkhidmatan masing-masing.
Latihan berfokus diberikan kepada bahagian kaunter hadapan (Front Office) dan pengemasan bilik (Housekeeping), merangkumi aspek teori, praktikal serta penarafan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).
Program berkenaan turut memberi penekanan kepada kemahiran teknikal, komunikasi dan prosedur operasi standard (SOP) mengikut piawaian industri hospitaliti.
















