52 nelayan terima bantuan peralatan menerusi Program Cakna Nelayan Al-Falah
-
25 November 2026
-
Oleh: Irham Hilmi Hashim
-
26
KOTA DARULNAIM, 25 November – Sebanyak 52 nelayan menerima sumbangan bantuan peralatan menerusi Program Cakna Nelayan Al-Falah Kota Bharu sebagai usaha membantu memenuhi keperluan golongan berkenaan serta memperkukuh kebajikan komuniti nelayan di negeri ini.
Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi YB Dato’ Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, program berkenaan merupakan antara inisiatif mendekati komuniti nelayan menerusi penyampaian sumbangan yang memberi manfaat kepada golongan tersebut.
Beliau berkata demikian menerusi media sosial selepas menyempurnakan perasmian program berkenaan di Dewan Serbaguna Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kuala Besar, di sini, semalam.
Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi, YB Dato’ Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail
Menurutnya, usaha berkenaan mencerminkan keprihatinan terhadap kebajikan dan kesejahteraan nelayan, khususnya melalui bantuan input yang disalurkan menerusi Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Kota Bharu.
Beliau juga berharap program seumpama berkenaan dapat diteruskan sebagai medium mendekati komuniti nelayan serta menyampaikan inisiatif yang memberi manfaat kepada golongan berkenaan.
Turut hadir, Ahli Dewan Negeri (ADN) Chempaka YB Nik Baharum Nik Abdullah, Timbalan Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Negeri Kelantan Mohd Alias Mohamed Fauzi dan Pengerusi Persatuan Nelayan Kota Bharu Nik Mohd Kamal Nik Husin.












