451 PPS Kelantan sedia hadapi banjir, persiapan bermula sejak Julai – Pengarah JKM Kelantan
-
25 November 2026
-
Oleh: Syamimi Manah
-
21
KOTA BHARU, 25 November – Sebanyak 451 pusat pemindahan sementara (PPS) di seluruh 10 jajahan di Kelantan dikenal pasti sebagai persediaan menghadapi banjir, dengan kerja kesiapsiagaan digerakkan sejak Julai lalu.
Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Kelantan Che Samsuzuki Che Noh berkata, persiapan awal itu melibatkan mesyuarat dan simulasi bersama jawatankuasa bertindak di peringkat Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) bagi memastikan semua PPS bersedia untuk dibuka apabila diperlukan.
Beliau berkata, persiapan selama empat bulan itu turut melibatkan proses mengenal pasti premis yang sesuai dijadikan PPS sebelum dibawa kepada pengurusan bencana peringkat negeri untuk pengesahan.
“Setakat hari ini untuk makluman, kita telah memutuskan sebanyak 451 PPS di seluruh jajahan-jajahan, 10 jajahan yang ada inilah.
“Dalam keadaan siap sedia bila-bila masa, kita dah 'ready'. Jadi sebab itu kita dah bertindak awal tadi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu LIVE FOKUS Siri 23 anjuran Urus Setia Penerangan dan Komunikasi Negeri Kelantan (UPKN) bertajuk Kesiapsiagaan Menghadapi Banjir, semalam.
Che Samsuzuki juga memaklumkan, PPS yang dikenal pasti merangkumi sekolah, dewan orang ramai, balai raya, masjid, surau, pusat komuniti serta premis lain yang sesuai untuk dijadikan tempat perlindungan sementara.
Menurutnya lagi, tujuh jawatankuasa dibentuk di setiap PPS bagi memastikan pengurusan mangsa banjir dapat dilaksanakan dengan teratur, termasuk urusan pendaftaran, penyediaan makanan, penginapan, logistik, keselamatan dan kesihatan.
“Jadi kita ada tujuh jawatankuasa di setiap pusat pemindahan itu. Kita telah bentuk dan memberi kefahaman kepada mereka dalam konteks tadi, memberi simulasi keadaan sebenar berlaku.
“Macam mana cara kita nak bertindak, pendaftarannya, masakannya, penginapannya, persiapan dari segi logistik, keselamatan, kesihatan dan seumpamanya,” jelasnya.
Tambahnya, JKM turut bekerjasama dengan pelbagai agensi termasuk Kementerian Pendidikan, Pejabat Tanah dan Jajahan, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Kementerian Kesihatan Malaysia bagi memastikan pengurusan bencana berjalan lancar.
Katanya lagi, pemeriksaan turut dilakukan bagi menilai kesesuaian setiap premis yang dicadangkan sebagai PPS, termasuk aspek kesihatan dan keselamatan sebelum digunakan untuk menempatkan mangsa.
Che Samsuzuki menegaskan, walaupun banjir di Kelantan lazimnya berlaku secara bermusim antara November hingga Februari, persediaan tetap perlu dibuat lebih awal berikutan perubahan cuaca yang boleh menyebabkan bencana berlaku pada bila-bila masa.
“Walaupun mudah tapi dia sebenarnya susah. Maksud ambo mudahnya kerana banjir yang berlaku di Kelantan ni seolah-olah kita dah tahu. Dia bermusim.
“Bila masuk bulan sebelas, dua belas, satu, dua maknanya musim terujuk. Mari tak mari banjir tu tapi kita kena siap sedia,” jelasnya.










