Jangan tunggu banjir, daftar MyIBJKM lebih awal – Pengarah JKM Kelantan
-
25 November 2026
-
Oleh: Syamimi Manah
-
27
KOTA BHARU, 25 November – Rakyat Kelantan digalakkan membuat pendaftaran awal menerusi sistem MyIBJKM sebagai persediaan menghadapi banjir bagi mempercepatkan urusan kemasukan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Kelantan Che Samsuzuki Che Noh berkata, sistem berkenaan membolehkan Ketua Isi Rumah (KIR) mengisi maklumat lebih awal tanpa perlu menunggu sehingga berlaku banjir atau berpindah ke PPS.
Menurutnya, penggunaan MyIBJKM yang diperkenalkan kira-kira dua tahun lalu merupakan penambahbaikan terhadap kaedah pendaftaran mangsa banjir yang sebelum ini dilaksanakan secara manual.
“Bila-bila masa sahaja boleh muat turun aplikasi itu dan kita isi maklumat dalam MyIBJKM. Daftar awal dahulu walaupun belum masuk lagi, bukan banjir dan masih duduk di rumah.
“Apabila tiba masa kita berpindah, kita hanya perlu imbas kod bar yang disediakan untuk memastikan Ketua Isi Rumah (KIR) didaftarkan sebagai mangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu LIVE FOKUS Siri 23 anjuran Urus Setia Penerangan dan Komunikasi Negeri Kelantan (UPKN) bertajuk Kesiapsiagaan Menghadapi Banjir, pada Selasa.
Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Kelantan, Che Samsuzuki Che Noh
Che Samsuzuki berkata, penggunaan sistem itu bukan sahaja mempercepatkan proses pendaftaran di PPS, malah membantu mengelakkan pertindihan rekod apabila mangsa berpindah ke pusat pemindahan berlainan.
“Tujuan sistem ini adalah untuk mempercepatkan pendaftaran dan yang keduanya supaya tidak berlaku pertindihan.
“Dalam sistem kita sudah ada rekod, jadi apabila seseorang itu berpindah ke pusat pemindahan lain, perkara itu dapat dikenal pasti dan tidak berlaku pertindihan pendaftaran,” ujarnya.
Menurutnya, hampir 70,000 rekod telah dimasukkan dalam sistem berkenaan, dengan Pasir Mas antara jajahan yang mencatatkan jumlah pendaftaran tinggi.
Tambahnya, penggunaan teknologi digital itu merupakan antara usaha JKM menambah baik pengurusan bencana supaya urusan bantuan dan kebajikan mangsa dapat dilaksanakan dengan lebih cekap.
Sehubungan dengan itu, orang ramai khususnya penduduk di kawasan berisiko banjir disaran mengambil peluang membuat pendaftaran lebih awal bagi memudahkan urusan sekiranya perlu berpindah ke PPS.









