Perkukuh AKF menerusi pembentukan Dasar Kerja Mesra Keluarga - Dato' Siti Zailah
-
25 November 2026
-
Oleh: Asri Hamat
-
29
KUALA LUMPUR, 25 November - Kerajaan disaran memperkukuh pelaksanaan Aturan Kerja Fleksibel (AKF) menerusi pembentukan Dasar Kerja Mesra Keluarga bagi membantu wanita mengimbangi tuntutan kerjaya dan tanggungjawab penjagaan keluarga.
Ahli Parlimen Rantau Panjang YB Dato' Siti Zailah Mohd Yusoff, berkata perkara itu perlu diberi perhatian kerana tanggungjawab menjaga anak dan ibu bapa antara faktor yang mempengaruhi penyertaan wanita dalam tenaga buruh.
Katanya, AKF yang telah diperuntukkan melalui seksyen 60 P dan 60 Q Akta Kerja 1955 yang menyatakan pekerja mempunyai hak untuk memohon AKF dan majikan perlu memberi keputusan bertulis dalam tempoh 60 hari.
"Namun undang-undang tidak mewajibkan setiap permohonan Aturan Kerja Fleksibel diluluskan, walaupun pekerja mempunyai hak untuk memohon dan majikan perlu memberikan keputusan secara bertulis dalam tempoh 60 hari," katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan peruntukan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) pada peringkat Jawatankuasa, di Dewan Rakyat semalam dengan membangkitkan isu berkenaan di bawah Butiran 020200 berkaitan Pembangunan Wanita.
Kata Dato' Siti Zailah lagi, berdasarkan maklumat yang dibentangkan dalam Kit Analisis Belanjawan, sebanyak 42.8 peratus wanita di luar tenaga buruh dikaitkan dengan tanggungjawab penjagaan keluarga.
"Keadaan itu menunjukkan isu penjagaan keluarga bukan sekadar urusan rumah tangga, malah turut memberi kesan kepada penyertaan wanita dalam ekonomi negara," jelasnya.
Beliau turut meminta penjelasan kementerian mengenai jumlah daripada peruntukan RM33.34 juta yang disediakan khusus untuk memperkukuh keseimbangan kerja dan keluarga serta menggalakkan majikan melaksanakan AKF.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan KPWKM bekerjasama dengan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) untuk mengkaji pembentukan Dasar Kerja Mesra Keluarga yang menetapkan sasaran pelaksanaan AKF, mekanisme pemantauan serta saluran semakan terhadap penolakan permohonan yang tidak munasabah.
Beliau menggesa kerjasama antara kementerian bagi memastikan pelaksanaan dasar berkenaan benar-benar memberi manfaat kepada wanita, sekali gus menyokong pembangunan negara.
"Kita tidak mahu wanita terpaksa memilih antara meneruskan kerjaya dengan menjaga keluarga, sedangkan kedua-duanya penting kepada pembangunan negara," ujarnya.








