ADN Pengkalan Kubor santuni tiga keluarga, serah bantuan Kifalah RM1,000
Oleh: Irham Hilmi Hashim
KOTA DARULNAIM, 17 Mei — Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Kelantan merangkap Ahli Dewan Negeri (ADN) Pengkalan Kubor YB Wan Roslan Wan Hamat menziarahi tiga keluarga di Pengkalan Kubor yang diuji dengan kehilangan ahli keluarga, kemalangan serta kematian, sekali gus menyampaikan sumbangan khairat RM1,000 kepada waris yang terlibat.
Ziarah itu melibatkan keluarga Allahyarham Ab. Ghapar Jusoh di Kampung Bunohan dan Almarhumah Ramlah Che Lah di Kampung Kajang Sebidang, selain turut menziarahi keluarga Allahyarham Nor Hisyam Mat Rafin di Kampung Nechang bagi menyampaikan ucapan takziah serta berkongsi rasa dukacita atas pemergian arwah.
Menurutnya, sumbangan di bawah Skim Khairat Kifaalah Kerajaan Negeri Kelantan itu diharap dapat meringankan sedikit beban urusan keluarga dalam menghadapi saat sukar kehilangan insan tersayang.
Dalam masa sama, beliau turut menziarahi Muhammad Zairul Ghazali di Teluk Jering yang sedang menerima rawatan selepas terlibat dalam kemalangan, serta mendoakan agar beliau segera diberikan kesembuhan dan dipermudahkan urusan rawatan.
“Semoga Allah SWT mengurniakan ketabahan kepada seluruh ahli keluarga yang terlibat serta mengangkat segala ujian ini sebagai penghapus dosa dan tanda kasih sayang-Nya,” katanya menerusi media sosial, semalam.
Beliau turut menegaskan bahawa pendekatan ziarah rakyat merupakan antara usaha berterusan kerajaan negeri dalam mendekati masyarakat serta memastikan kebajikan rakyat sentiasa diberi perhatian sewajarnya.












