Kelantan International Jamboree 4x4 2026 promosi ekopelancongan Kuala Balah
Oleh: Irham Hilmi Hashim
JELI, 17 Mei — Kelantan International Jamboree 4x4 2026 & Drive For Gaza 2.0 membuka ruang signifikan kepada usaha mempromosikan Kuala Balah sebagai destinasi ekopelancongan.
Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan YB Datuk Kamarudin Md Nor berkata penganjuran program berkenaan memberi pendedahan kepada aktiviti sukan lasak 4x4 sekali gus menjadi platform strategik dalam memperkenalkan keunikan bentuk muka bumi serta potensi semula jadi yang terdapat di kawasan tersebut.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penutup Kelantan International Jamboree 4x4 2026 & Drive For Gaza 2.0 yang berlangsung di trek baharu di bawah Jambatan Kuala Balah, semalam.
“Pemilihan lokasi baharu itu membuktikan bahawa Kuala Balah mempunyai kelebihan tersendiri untuk dibangunkan sebagai produk pelancongan berasaskan sukan rekreasi, di samping eko pelancongan yang mampu menarik kehadiran pengunjung dari dalam dan luar negeri,” katanya.
Menurutnya lagi, program selama dua hari bermula 15 Mei hingga 16 Mei 2026 itu menghimpunkan peminat sukan lasak, komuniti 4x4 serta peserta dari pelbagai negeri dalam suasana penuh meriah dan semangat persaudaraan.
“Selain menguji ketahanan jentera dan kemahiran pemanduan di laluan mencabar, program itu turut membawa pengisian Drive For Gaza 2.0 yang menzahirkan solidariti serta keprihatinan terhadap isu kemanusiaan sejagat,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau berkata sambutan menggalakkan daripada peserta dan pengunjung membuktikan bahawa penganjuran program seumpama ini memberi impak langsung kepada sektor pelancongan negeri, di samping membantu merancakkan ekonomi komuniti setempat serta memperkukuh kedudukan Jeli sebagai antara destinasi sukan lasak berpotensi di Malaysia.
Beliau memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri Kelantan akan terus memperkasa penganjuran program berasaskan pelancongan komuniti, eko pelancongan dan sukan rekreasi sebagai sebahagian usaha berterusan memperkukuh sektor pelancongan negeri pada masa akan datang.














