Accessibility Tools

Skip to main content

Koperasi Masjid Permatang Sungkai berjaya hasilkan kordial nanas

Oleh: Irham Hilmi Hashim

PASIR PUTEH, 17 Mei — Koperasi Masjid Mukim Permatang Sungkai Berhad membuktikan kemampuan dalam memperkasa ekonomi komuniti apabila berjaya menghasilkan produk hiliran berasaskan nanas iaitu kordial nanas dan air nanas sedia diminum melalui pemprosesan hasil pertanian tempatan, sekali gus memberi nilai tambah kepada komoditi asas untuk pasaran yang lebih luas.

Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi YB Dato’ Tuan Saripudin Tuan Ismail berkata, pembangunan produk hiliran melalui institusi koperasi mampu memperkasa ekonomi komuniti serta meningkatkan nilai tambah hasil pertanian tempatan.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Perasmian dan Pelancaran Produk Hiliran anjuran Koperasi Masjid Mukim Permatang Sungkai Berhad di Jeram Mengaji Agro Resort, semalam.

Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi, YB Dato’ Tuan Saripudin Tuan Ismail

Menurutnya, penglibatan koperasi dalam sektor pemprosesan makanan dan minuman memberi impak positif kepada pembangunan industri agromakanan negeri.

Beliau mengakui usaha tersebut membuktikan koperasi mampu memainkan peranan penting dalam membangunkan produk berkualiti serta berdaya saing selaras dengan keperluan pasaran semasa.

Tambahnya, komitmen ditunjukkan Ahli Lembaga dan anggota koperasi wajar diberi penghargaan kerana berjaya menggerakkan inisiatif yang memberi manfaat kepada masyarakat setempat dan sektor pertanian negeri.

Beliau turut berharap usaha pembangunan produk hiliran itu dapat diperluaskan pada masa hadapan bagi merancakkan lagi ekonomi komuniti serta membuka peluang baharu kepada pengusaha tempatan.

Pautan berjaya disalin!