Falsafah Pendidikan Kaffah Rabbani perlu pandu agenda pendidikan negara
Oleh: Asri Hamat
KOTA DARULNAIM,17 Mei — Agenda pendidikan negara perlu dipandu oleh kerangka Falsafah Pendidikan Kaffah Rabbani bagi melahirkan generasi seimbang yang berteraskan iman, ilmu, akhlak dan penguasaan teknologi semasa.
Speaker Dewan Negeri Kelantan YB Dato' Sri Amar Diraja Dato' (Dr) Mohd Amar Abdullah berkata falsafah itu menekankan pendidikan sebagai agenda besar pembinaan insan rabbani dan bukan sekadar melahirkan tenaga kerja atau pencapaian akademik semata-mata.
Beliau berkata, Falsafah Pendidikan Kaffah Rabbani ditakrifkan sebagai “suatu usaha berterusan secara holistik dan saintifik dalam menyuburkan fitrah manusia berteraskan prinsip iman, Islam dan ihsan bersumberkan al-Quran dan al-Sunnah”.
Katanya, pendekatan itu bertujuan membangunkan insan soleh pintar yang berilmu dan beramal, berakhlak mulia, berintegriti, memiliki jati diri serta menguasai teknologi semasa ke arah pembentukan generasi rabbani.
“Pendidikan bukan sekadar proses melahirkan tenaga kerja atau pencapaian akademik semata-mata, tetapi merupakan agenda besar pembinaan insan rabbani yang mampu memimpin masyarakat dengan panduan wahyu, kebijaksanaan ilmu dan kekuatan akhlak,” katanya sempena sambutan Hari Guru, semalam.
Tambahnya, guru dalam kerangka pendidikan rabbani berperanan sebagai pembina jiwa manusia dan bukan hanya mendidik murid untuk mencapai kecemerlangan peperiksaan.
Menurutnya lagi, pendidik rabbani perlu diperkasakan dengan lima kekuatan utama iaitu kekuatan akidah dan ruhiyyah, ketinggian ilmu dan profesionalisme, keutuhan akhlak dan integriti, kebijaksanaan membina jati diri ummah serta keupayaan memimpin perubahan tamadun.
“Kita menzahirkan komitmen untuk terus memperkukuhkan ekosistem pendidikan negara, memperkasakan Dasar Pendidikan Kebangsaan serta memastikan generasi masa hadapan negara dibangunkan dengan keseimbangan antara ilmu wahyu, ilmu akal, teknologi dan akhlak insani,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa pembinaan Malaysia yang sejahtera tidak akan tercapai tanpa lahirnya pendidik rabbani yang mampu membina manusia rabbani.
Sehubungan itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh warga pendidik sempena sambutan Hari Guru.
“Semoga Allah SWT memberkati segala pengorbanan dan jasa bakti para guru dalam membangunkan generasi ummah dan negara,” katanya.
Beliau menekankan bahawa negara memerlukan guru yang bukan sahaja berfungsi sebagai penyampai ilmu, bahkan bertindak sebagai murabbi, muaddib dan qudwah hasanah dalam membentuk manusia yang seimbang dari sudut rohani, intelektual, emosi dan jasmani.








