Accessibility Tools

Skip to main content

Curahan ilmu memuliakan guru – YB Mohd Asri

Oleh: Asri Hamat

KOTA DARULNAIM, 17 Mei – Peranan guru dalam mencurahkan ilmu kepada pelajar menjadi antara amalan yang memuliakan seseorang pendidik serta memberi ganjaran pahala berterusan di sisi Allah SWT.

Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Komunikasi YB Mohd Asri Mat Daud berkata kemuliaan seorang guru adalah berdasarkan ilmu yang diajarkan kepada anak didik mereka.

Beliau berkata, perkara itu bertepatan dengan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Apabila manusia meninggal dunia terputuslah pahala amalannya kecuali daripada tiga sumber: sedekah yang berterusan faedahnya, ilmu yang dimanfaatkan dan anak soleh yang berdoa kepadanya.”

Katanya, seorang guru yang mengajar ilmu walaupun asas pembelajaran seperti mengenal huruf dan membaca tetap memperoleh pahala jariah apabila ilmu itu dimanfaatkan oleh pelajar sepanjang kehidupan mereka.

“Begitu juga dengan ajaran akhlak yang membentuk personaliti pelajar yang baik akan menjadi pengimbang kepada kestabilan masyarakat.

“Menghilangkan kejahilan pada seseorang adalah tugas yang sangat dimuliakan dan akan membentuk ketamadunan masyarakat yang berasaskan ilmu,” katanya di media sosial pada Sabtu, sempena sambutan Hari Guru 2026.

Menurutnya, guru juga berperanan menjulang adab dalam kalangan pelajar selain mewujudkan masyarakat berilmu yang mampu mengurus pelbagai lapangan kehidupan termasuk ekonomi, politik dan pentadbiran negara.

Katanya lagi, masyarakat, negara dan negeri yang diurus berasaskan ilmu akan lebih dihormati dan mampu membangun dengan pesat.

Dalam pada itu, beliau berkata, dunia pendidikan turut berdepan cabaran media sosial yang dipenuhi lambakan maklumat sukar dipastikan kesahihannya.

Sehubungan itu, beliau menyeru masyarakat agar berpegang kepada prinsip yang diajarkan guru iaitu hanya mengulas, berkongsi atau menyokong perkara yang benar-benar pasti dan berasaskan ilmu.

“Jika tidak pasti jangan kongsi dan diam adalah lebih baik demi menjaga keharmonian masyarakat,” pesannya.

Beliau turut mengucapkan Selamat Hari Guru kepada seluruh pendidik dan menyifatkan Rasulullah SAW sebagai Guru Agung yang mewariskan ilmu kepada umat manusia sebelum diteruskan perjuangannya oleh para guru.

“Pendidik Rabbani Malaysia Sejahtera,” katanya.

Pautan berjaya disalin!