“Guru Bitara, Nadi Negara” tepat gambar peranan, pengorbanan warga pendidik – MB Kelantan
Oleh: Asri Hamat
KOTA DARULNAIM, 17 Mei — Tema sambutan Hari Guru 2026, “Guru Bitara, Nadi Negara” disifatkan amat bertepatan dalam menggambarkan peranan besar serta pengorbanan warga pendidik dalam membentuk generasi masa depan negara.
Menteri Besar Kelantan YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud berkata, guru memainkan peranan penting bukan sahaja dalam menyampaikan ilmu, malah mendidik, membimbing serta membentuk sahsiah anak bangsa yang akan mencorakkan masa depan negara.
Menurutnya, di sebalik kejayaan setiap individu, terselit pengorbanan seorang guru yang tidak pernah jemu mencurahkan ilmu, masa dan tenaga dengan penuh keikhlasan.
“Tema sambutan Hari Guru 2026 iaitu ‘Guru Bitara, Nadi Negara’ amat bertepatan dalam menggambarkan besarnya jasa para pendidik dalam membina masyarakat yang berilmu, berakhlak dan berdaya saing.
“Pengorbanan mereka bukan sahaja melahirkan pelajar cemerlang, malah membentuk insan yang mampu memberi manfaat kepada agama, bangsa dan negara,” katanya menerusi laman rasmi beliau pada Sabtu sempena sambutan Hari Guru 2026.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh warga pendidik atas dedikasi dan pengorbanan yang disifatkan tidak ternilai dalam memartabatkan pendidikan negara.
“Semoga setiap ilmu yang disampaikan menjadi amal jariah yang berpanjangan dan dikurniakan keberkatan oleh Allah SWT,” katanya.
Sementara itu, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi YB Dato’ Wan Roslan Wan Hamat menyifatkan warga pendidik sebagai obor ilmu dan pembina akhlak ummah yang memainkan peranan besar dalam membangunkan modal insan berkualiti.
Katanya, jasa guru amat besar kerana mereka bukan sahaja menyampaikan ilmu, malah membentuk peribadi, menyemai adab serta melahirkan generasi yang beriman, berilmu dan berbakti kepada agama, bangsa dan negara.
“Terima kasih cikgu atas segala pengorbanan, kesabaran dan keikhlasan mendidik anak-anak bangsa.
“Semoga seluruh warga pendidik terus dikurniakan kekuatan, kesihatan serta keberkatan dalam meneruskan amanah yang mulia ini,” katanya.
Beliau turut mengulangi tema “Guru Bitara, Nadi Negara” serta slogan “Pendidik Rabbani Malaysia Sejahtera” sebagai simbol penghargaan kepada seluruh warga pendidik sempena sambutan Hari Guru 2026.










