Accessibility Tools

Skip to main content

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi, YB Dato’ Wan Roslan Wan Hamat


UEC tidak diiktiraf untuk kemasukan program Asasi KIAS - Exco Pengajian Tinggi

Oleh: Asri Hamat

KOTA DARULNAIM, 16 Mei - Kerajaan Negeri Kelantan menegaskan bahawa Unified Examination Certificate (UEC) tidak termasuk dalam syarat kelayakan akademik yang diiktiraf bagi kemasukan ke program Asasi di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS).

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi YB Dato’ Wan Roslan Wan Hamat berkata sehingga kini kelayakan UEC tidak termasuk dalam syarat kemasukan yang diiktiraf bagi program berkenaan.

Beliau menegaskan bahawa berdasarkan syarat kemasukan yang dipaparkan oleh pihak KIAS, program asasi terbuka kepada calon yang memiliki kelayakan seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau kelayakan lain yang setaraf serta diiktiraf.

“Sehubungan itu, calon yang hanya memiliki kelayakan UEC adalah tidak layak dipertimbangkan bagi kemasukan ke program Asasi KIAS.

“Sebarang perubahan dasar atau syarat kemasukan akan dimaklumkan melalui saluran rasmi kolej universiti dari semasa ke semasa,” jelasnya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya merujuk laman rasmi KIAS atau menghubungi Unit Kemasukan Pelajar KIAS untuk mendapatkan maklumat lanjut berhubung syarat kemasukan program Asasi institusi berkenaan.

Sementara itu, Rektor KIAS Profesor Dr Mazlan Ibrahim turut menegaskan bahawa KIAS tidak pernah mengiktiraf UEC utk kemasukan pelajar.

Rektor KIAS, Profesor Dr Mazlan Ibrahim

Katanya, poster-poster promosi program asasi hanya menggunakan SPM dengan keputusan lima kepujian sahaja.

Tambahnya, berdasarkan surat perakuan akreditasi oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), KIAS hanya menyatakan kelayakan masuk sebagaimana berikut;

  1. Memiliki Sijil Pelajaran Malaysia dengan mendapat sekurang-kurangnya lima kepujian dalam lima mata pelajaran ; ATAU
  2. Lulus O-Level dengan mendapat sekurang-kurangnya gred C dalam lima mata
    pelajaran ; ATAU
  3. Kelayakan-kelayakan lain yang diiktiraf setara.

"Oleh itu, sejak dari awal hingga sekarang, tidak pernah dimasukkan syarat lulus UEC dalam mana-mana dokumen sebaran untuk kemasukan pelajar ke program Asasi KIAS," katanya.

Pautan berjaya disalin!