MB Kelantan berjaya buka pintu Jakarta–Kota Bharu
Oleh: Norzana Razaly
Kredit foto Media MB Kelantan
KOTA DARULNAIM, 15 Mei – Kejayaan lawatan rasmi Menteri Besar Kelantan YAB Dato' Panglima Perang Ustaz Dato' Mohd Nassuruddin Daud ke Indonesia membuka lembaran baharu hubungan diplomatik serantau apabila pintu penerbangan terus Kota Bharu–Jakarta berjaya dibuka.
Penerbangan tersebut bakal bermula pada 16 Jun ini dengan kekerapan empat kali seminggu, sekali gus memperkukuh jaringan antarabangsa negeri serta merancakkan potensi ekonomi rakyat.
Dato' Mohd Nassuruddin Daud berkata, pembukaan laluan udara tersebut memberi impak besar kepada sektor pelancongan dan dijangka merangsang pertumbuhan ekonomi melalui pengembangan perdagangan, pelaburan, pendidikan, kesihatan dan hubungan rakyat antara kedua-dua wilayah.
Menurutnya, hubungan Kelantan dan Jakarta memiliki asas persaudaraan yang kukuh berteraskan persamaan agama, bangsa, bahasa serta budaya yang telah lama menjadi jambatan kebersamaan.
“Ketika merasmikan program Kelantan Day di Jakarta pagi tadi (14 Mei) saya tegaskan bahawa hubungan Kelantan–Jakarta ibarat adik-beradik yang diikat dengan banyak persamaan, antaranya agama, bangsa, bahasa dan budaya.
“Hubungan ini diharapkan tidak terikat kepada agenda diplomatik semata-mata, sebaliknya lahir daripada keikhlasan dan persaudaraan yang mendalam demi manfaat bersama,” katanya menerusi media sosial, hari ini.
Beliau juga memaklumkan bahawa kesempatan berucap di hadapan penggiat industri pelancongan Indonesia dimanfaatkan sepenuhnya bagi memperkenalkan identiti dan kelebihan Kelantan sebagai destinasi strategik di rantau ini.
Menurutnya, antara potensi yang diketengahkan termasuk khazanah seni dan budaya, keindahan alam semula jadi, pusat pendidikan, kepelbagaian makanan tradisional serta perkhidmatan kesihatan berkualiti dengan kos kompetitif di Kota Bharu.
“Dengan kedudukan geografi yang strategik, Kelantan juga berpotensi menjadi pintu masuk utama dan hab transit sebelum pelancong meneroka pulau-pulau berhampiran serta wilayah Selatan Thailand,” jelasnya.
Dalam lawatan tersebut, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Wakil Menteri Luar Negeri Republik Indonesia, Arif Havas Oegroseno atas kerjasama erat dalam menjayakan agenda strategik berkenaan.
Penghargaan turut dizahirkan kepada pemain industri pelancongan Eddy Krismeidi Soemawilaga, Nuniek Noorfiani serta Farzamie Sarkawi yang banyak membantu melancarkan urusan delegasi Kerajaan Negeri Kelantan sepanjang berada di Jakarta.
Sebagai memperkenalkan identiti budaya negeri kepada masyarakat Indonesia, delegasi Kelantan turut mempersembahkan seni silat dan dikir barat secara langsung yang dibawa khas dari Kota Bharu.
Persembahan kumpulan Suara Muzium yang dipimpin juara tukang karut berjaya mencuri perhatian hadirin dan menerima sambutan positif daripada penggiat industri serta para undangan yang hadir.
Pada kesempatan itu, Menteri Besar Kelantan berbesar hati mempelawa masyarakat Indonesia, khususnya warga Jakarta, untuk berkunjung ke Kelantan bagi menikmati keunikan budaya, gastronomi serta pengalaman pelancongan yang ditawarkan negeri ini.
“Buat saudara-saudara dari Indonesia khususnya Jakarta, yok langsung terbang ke Kota Bharu. Kelantan menanti ketibaan anda semua,” ujarnya.














