Accessibility Tools

Skip to main content

Kelantan hab transit strategik tiga negara

Oleh: Norzana Razaly
Kredit foto: Media MB Kelantan

KOTA DARULNAIM, 15 Mei – Kelantan berpotensi muncul sebagai hab transit strategik yang menghubungkan Malaysia, Thailand dan Indonesia susulan pelancaran penerbangan terus Kota Bharu–Jakarta mulai 16 Jun, sekali gus mengukuhkan kedudukan negeri ini sebagai pintu masuk baharu serantau.

Wakil Menteri Luar Negeri Republik Indonesia Arif Havas Oegroseno menyifatkan laluan udara berkenaan mampu menjadi pemangkin kepada perhubungan rentas negara yang lebih dinamik, khususnya melibatkan pergerakan pelancong, pelabur dan komuniti perniagaan antara Malaysia, Thailand Selatan dan Indonesia.

Menurut laporan portal berita Indonesia Rmol.id semalam, beliau berkata kedudukan geografi Kelantan yang bersempadan dengan Thailand Selatan menjadikan negeri ini sangat berpotensi berkembang sebagai pusat transit serantau yang baharu.

Wakil Menteri Luar Negeri Republik Indonesia Arif Havas Oegroseno

Katanya, penerbangan langsung Kelantan–Jakarta diyakini mampu mengubah landskap hubungan ekonomi dan pelancongan di rantau ini apabila Kelantan berperanan sebagai gerbang strategik yang menghubungkan pergerakan masyarakat tiga negara.

“Kelantan berpotensi menjadi pusat regional di bahagian Thailand dan Malaysia, sekali gus menjadi magnet kepada masyarakat di wilayah berkenaan untuk ke Jakarta dan sebaliknya.

“Saya percaya inisiatif ini mempunyai makna strategik yang sangat besar pada masa depan,” katanya ketika menghadiri program Kelantan Day di Hotel Four Points by Sheraton, pada Khamis.

Program tersebut  dihadiri delegasi Kerajaan Negeri Kelantan diketuai Menteri Besar Kelantan YAB Dato' Panglima Perang Ustaz Dato' Mohd Nassuruddin Daud.

Havas turut berpandangan bahawa penerbangan terus Kota Bharu–Jakarta bakal mempercepat pertumbuhan sektor pelancongan, memperkukuh industri halal, meningkatkan pelaburan rentas sempadan serta mempererat hubungan masyarakat antara negara jiran.

Menurutnya lagi, sekiranya laluan awal itu menunjukkan perkembangan positif, potensi peluasan penerbangan ke destinasi lain di Indonesia seperti Surabaya dan Bali turut boleh dipertimbangkan.

“Semoga hubungan perniagaan antara Indonesia dan Malaysia, khususnya Kelantan dan pelbagai wilayah di Indonesia akan terus diperkukuh,” katanya.

Untuk rekod, perkhidmatan penerbangan terus Kota Bharu–Jakarta dijadualkan beroperasi empat kali seminggu iaitu setiap Selasa, Khamis, Sabtu dan Ahad menggunakan pesawat Airbus A320 kendalian AirAsia⁠.

Laluan strategik itu bakal menghubungkan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Kota Bharu dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, Jakarta, sekali gus membuka dimensi baharu hubungan ekonomi, pelancongan dan mobiliti rakyat antara tiga negara serantau.

Pautan berjaya disalin!