Accessibility Tools

Skip to main content

KFLI-IYRES aktifkan belia Kelantan melalui ICE dan MyProfil

Oleh: Syamimi Manah
Foto: Media IYRES

PUTRAJAYA, 14 Mei – Kelantan Future Leaders Institute (KFLI) bersama  Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES) di bawah Kementerian Belia dan Sukan merangka kerjasama strategik bagi mengaktifkan penglibatan komuniti belia di Negeri Kelantan melalui inisiatif IYRES Community Enumerator (ICE) dan platform MyProfil.

Ketua Eksekutif Sekretariat KFLI Mohd Ridhuwan Che Musa berkata, kerjasama itu merupakan langkah strategik dalam memperkukuh pembangunan belia berasaskan data serta penglibatan komuniti secara lebih menyeluruh.

“Kerjasama ini membuka ruang yang lebih luas kepada KFLI untuk memperkasa agenda pembangunan belia melalui pendekatan berasaskan data, khususnya penggunaan MyProfil sebagai platform utama,” katanya di laman rasmi, hari ini.

Pertemuan strategik kedua-dua pihak berlangsung di pejabat IYRES, Menara KBS, Putrajaya  pada 11 Mei.

Beliau berkata, penglibatan KFLI dalam Hub Data IYRES melalui inisiatif ICE dan MyProfil akan memperkukuh peranan belia sebagai ejen perubahan di peringkat akar umbi.

“Kita melihat pengaktifan komuniti belia melalui ICE sebagai platform penting untuk memastikan lebih ramai anak muda terlibat secara langsung dalam ekosistem pembangunan belia negara,” ujarnya.

Tambahnya, kerjasama strategik dan penglibataan KFLI sebagai focal point di dalam Hub Data IYRES ini turut mencerminkan keyakinan dan kepercayaan terhadap peranan KFLI dalam melaksanakan agenda pembangunan belia secara lebih berkesan.

“Ini adalah pengiktirafan penting yang menunjukkan kepercayaan terhadap peranan KFLI dalam memperluas jaringan pembangunan belia bukan sahaja di Kelantan, malah di peringkat nasional seterusnya mengukuhkan ekosistem rakan strategik belia,” katanya.

Menurut Mohd Ridhuwan lagi, perbincangan melibatkan penglibatan KFLI dalam memperluaskan kesedaran dan pendaftaran belia sebagai IYRES Community Enumerator (ICE) serta pengguna MyProfil, yang akan dilaksanakan melalui program, seminar, bengkel dan persidangan berkaitan pembangunan belia.

"Kerjasama turut merangkumi pengukuhan hebahan bersepadu melalui saluran komunikasi rasmi KFLI termasuk laman web dan media sosial bagi memperluas capaian maklumat berkaitan MyProfil kepada golongan sasaran disamping mengoptimumkan fungsi Dashboard Belia dalam program-program KFLI" jelasnya.

Ketua Eksekutif Sekretariat KFLI turut merakamkan penghargaan kepada pihak IYRES atas jemputan serta peluang kerjasama strategik tersebut yang mampu memberi impak besar kepada pembangunan belia di Kelantan dan Malaysia secara keseluruhan.

Pautan berjaya disalin!