Accessibility Tools

Skip to main content

YB Azhar, Pasukan SKC ziarahi lima keluarga uzur di Batu 23 Labok

Oleh: Irham Hilmi Hashim

MACHANG, 14 Mei – Ahli Dewan Negeri (ADN) Pulai Chondong YB Azhar Salleh bersama isteri serta Pasukan Skuad Kita Cakna (SKC) Kawasan Pulai Chondong turun padang menziarahi lima keluarga di Mukim Batu 23 Labok yang sedang diuji dengan keuzuran dalam satu program ziarah kebajikan yang berlangsung pada 16 April lalu.

Program berkenaan diadakan sebagai tanda keprihatinan dan sokongan terhadap masyarakat setempat khususnya golongan yang memerlukan perhatian serta bantuan berterusan.

Dalam ziarah tersebut, rombongan turut menyampaikan sumbangan menerusi skim bantuan Kerajaan Negeri kepada keluarga terlibat bagi membantu meringankan beban keluarga yang disantuni.

 

YB Azhar Salleh berkata, usaha menyantuni rakyat terutama mereka yang diuji dengan kesakitan dan kesempitan hidup perlu terus diperkasakan sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial masyarakat.

Menurutnya, ziarah seperti itu bukan sekadar bertanya khabar, sebaliknya menjadi medium mengeratkan hubungan serta menyampaikan sokongan moral kepada keluarga yang terlibat.

“Semoga sedikit sumbangan dan kunjungan ini dapat memberi semangat kepada mereka serta membantu meringankan beban keluarga.

“Yang sakit kita ziarah, yang susah kita bantu dan yang memerlukan kita santuni,” jelasnya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang bersama menjayakan usaha kebajikan berkenaan serta mendoakan agar semua pesakit diberikan kesembuhan, ketabahan dan keberkatan buat seluruh keluarga mereka.

Pautan berjaya disalin!