Accessibility Tools

Skip to main content

Bandar D’Raja al-Muhammadi dibangunkan melalui projek RKK Kubang Kerian

Oleh: Asri Hamat
Foto: Media Exco
Info Grafik: MPKB

KOTA DARULNAIM,14 Mei — Pelaksanaan projek Rancangan Kawasan Khas (RKK) Kubang Kerian Bandar D’Raja Al-Muhammadi terus diperkasa menerusi pelbagai pembangunan infrastruktur dan kemudahan awam bagi menyokong imej bandar diraja serta perkembangan urbanisasi di kawasan berkenaan.

Perkembangan dan kemajuan terkini projek tersebut dibentangkan dalam satu sesi taklimat yang disampaikan oleh  Pengarah Perancang Bandar dan Landskap Jabatan Perancang Bandar dan Landskap MPKB-BRI Dr Hasnina Hassan bersama Penolong Pengarah Kamarul Azman Mohd Ab Ghani kepada Ahli Dewan Negeri ( ADN) Demit yang juga Exco Kerajaan Negeri Kelantan YB Mohd Asri Mat Daud, Jawatankuasa Pusat Khidmat DUN serta penghulu DUN Demit di bilik mesyuarat pejabat Exco, di Mabna Kompleks Kota Darulnaim, semalam. 

Menurut YB Mohd Asri, pelaksanaan projek berkenaan meliputi kerja naik taraf jalan, baik pulih landskap, pembinaan taman rekreasi, pintu gerbang dan 'skywalk' selain penambahbaikan perkhidmatan pengangkutan awam, sistem perparitan, elektrik, telekomunikasi serta bekalan air.

"Pembangunan ini dilihat bersesuaian dengan kewujudan Istana Negeri dan Istana Mahkota sebagai mercu serta pusat pertumbuhan negeri, di samping menyokong proses urbanisasi selari dengan imej Bandar D’Raja Al-Muhammadi," katanya dalam media sosial, pada Rabu.

Selain itu tambahnya, projek berkenaan turut memberi penekanan terhadap usaha memperkukuhkan imej warisan budaya dan zon keilmuan Tok Kenali serta menjadikan Sungai Pengkalan Datu sebagai sumber tarikan pelancongan.

"Difahamkan, keseluruhan pelaksanaan projek itu melibatkan kawasan dalam Dewan Negeri (DUN) Demit," jelasnya.

Pautan berjaya disalin!