100 hari pertama KAFA jadi penentu hala tuju pemulihan bola sepak Kelantan – YB Zamakhshari
-
29 November 2026
-
Oleh: Syamimi Manah
-
42
KOTA DARULNAIM, 29 November - Tempoh 100 hari pertama kepimpinan baharu Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) perlu dimanfaatkan sebagai fasa penting untuk menetapkan hala tuju, menyusun semula organisasi dan merangka pelan pemulihan bola sepak negeri.
Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat, YB Zamakhshari Muhamad, berkata bahawa keutamaan diberikan kepada usaha memperkemas tadbir urus dan pentadbiran sebelum memberi tumpuan kepada pembangunan bola sepak merupakan langkah wajar bagi memastikan organisasi mempunyai asas pengurusan yang kukuh.
Sehubungan itu, beliau mengucapkan tahniah kepada Presiden KAFA yang baharu Datuk Seri Rosmadi Ismail dan seluruh barisan kepimpinan baharu KAFA atas amanah serta tanggungjawab yang diberikan.
“Organisasi yang kukuh dan pengurusan yang profesional adalah asas kepada kejayaan jangka panjang,” katanya di laman rasmi pada Jumaat.
Menurutnya, usaha pemulihan bola sepak Kelantan tidak seharusnya hanya tertumpu kepada pengurusan pasukan utama, sebaliknya perlu merangkumi keseluruhan ekosistem bola sepak negeri.
Antara aspek yang perlu diberi perhatian termasuk pembangunan akar umbi bagi mengenal pasti dan melahirkan lebih ramai bakat muda dari seluruh daerah di Kelantan, selain meningkatkan kualiti pemain, jurulatih dan pengadil.
Beliau berkata, pengurusan dan tadbir urus profesional yang telus, berintegriti serta mempunyai perancangan jangka panjang juga penting dalam membina semula keyakinan terhadap persatuan itu.
“Kesatuan seluruh pemegang taruh juga perlu diberi perhatian bagi mengembalikan keyakinan penyokong, kelab, komuniti bola sepak, pihak swasta dan semua pihak yang cintakan bola sepak Kelantan,” ujarnya.
Dalam pada itu, YB Zamakhshari berkata penggantungan KAFA oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) hampir dua tahun telah memberi kesan kepada aktiviti dan kesinambungan pembangunan bola sepak negeri.
Justeru, cabaran membina semula keyakinan serta mengembalikan momentum pembangunan bola sepak bukanlah sesuatu yang kecil.
Bagaimanapun, katanya, Kelantan mempunyai modal sosial yang besar untuk kembali bangkit berdasarkan sejarah bola sepak negeri serta sokongan penyokong yang setia.
“Harapan saya, kepimpinan baharu KAFA dapat menjadikan 100 hari pertama ini sebagai titik permulaan kepada satu transformasi yang menyeluruh.
“Kita bukan sekadar mahu melihat pasukan Kelantan kembali bersaing di pentas tertinggi, tetapi mahu melihat lahirnya sebuah sistem pembangunan bola sepak yang tersusun, mampan dan mampu melahirkan pemain-pemain berkualiti untuk masa depan,” katanya.
Beliau turut menegaskan bola sepak bukan sekadar sebuah pasukan, sebaliknya menjadi kebanggaan, identiti dan semangat rakyat Kelantan.
Sehubungan itu, beliau berharap amanah yang diberikan kepada kepimpinan baharu KAFA menjadi permulaan kepada kebangkitan semula bola sepak Kelantan.










