MPUK sasar himpun 20,000 usahawan, peruntukan mikrokredit berpotensi cecah RM3 juta
-
29 November 2026
-
Oleh: Irham Hilmi Hashim
-
42
KOTA BHARU, 29 November – Majlis Pembangunan Usahawan Kelantan (MPUK) dalam usaha menghimpunkan antara 18,000 hingga 20,000 usahawan yang aktif dalam bidang perniagaan dan perusahaan di seluruh negeri bagi memperkukuh penyelarasan pembangunan keusahawanan secara bersepadu.
Exco Pelaburan, Perindustrian, Sumber Manusia, Perdagangan dan Keusahawanan YB Mejar (B) Dato’ Md Anizam Abdul Rahman berkata, usaha itu turut melibatkan pengumpulan data keahlian di semua jajahan dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) menerusi kerjasama Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) dan MPUK.
Beliau berkata demikian ketika berkongsi perkembangan MPUK dan inisiatif pembangunan usahawan pada Majlis Gala Usahawan Kelantan 2026 di Ibis Styles Hotel, di sini, semalam.
Menurutnya, usaha menghimpunkan keahlian itu bertujuan menggabungkan potensi usahawan daripada pelbagai sektor termasuk pertanian, belia dan wanita, sekali gus melibatkan seluruh lapisan masyarakat dalam ekosistem keusahawanan negeri.
“Peruntukan Skim Mikrokredit bagi 2027 turut berpotensi ditingkatkan sehingga RM2 juta atau RM3 juta bagi membantu lebih ramai peniaga kecil mengembangkan perniagaan masing-masing,” katanya.
Pertimbangan itu susulan pelaksanaan skim berkenaan yang telah memberi manfaat kepada 106 usahawan menerusi kemudahan pinjaman sebanyak RM10,000 seorang.
Pelaksanaan skim tersebut melibatkan perbelanjaan kerajaan negeri sekitar RM1 juta bagi membantu memperkukuh modal dan kelangsungan operasi usahawan di peringkat akar umbi.
Tambahnya, golongan yang terlibat dalam ekosistem keusahawanan negeri merangkumi pelbagai latar belakang termasuk penjaja kecil, penerima mikrokredit, pengusaha kilang, sektor pertanian, pembuat pakaian, agensi pelancongan serta pengusaha makanan dan minuman.
“Kepelbagaian bidang tersebut memperlihatkan peranan usahawan dalam memenuhi keperluan masyarakat melalui penyediaan makanan, pakaian, perkhidmatan, pengangkutan dan penginapan,” katanya.
Beliau turut menggalakkan pengilang dan rakan niaga dari luar supaya datang ke Kelantan untuk menjalankan perniagaan, menceburi bidang keusahawanan serta melabur seiring perkembangan infrastruktur seperti ECRL, lapangan terbang baharu dan pelabuhan bekalan di Tok Bali.
Majlis berkenaan turut dihadiri Menteri Besar Kelantan, YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud serta Konsul Jeneral Thailand di Kota Bharu, Phasit Chudabuddhi, bersama delegasi negara jiran itu.
Beliau berharap penyelarasan melalui MPUK dapat terus memperkukuh jaringan usahawan serta memastikan pelbagai inisiatif kerajaan negeri memberi manfaat kepada pembangunan ekonomi dan masyarakat Kelantan.










