RM1 juta Skim Kredit Mikro manfaatkan 106 usahawan Kelantan
-
29 November 2026
-
Oleh: Irham Hilmi Hashim
-
62
KOTA BHARU, 29 November – Seramai 106 usahawan di Kelantan menerima manfaat Skim Kredit Mikro menerusi peruntukan berjumlah RM1 juta bagi 2026 sebagai usaha memperkukuh pembangunan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) di negeri ini.
Menteri Besar Kelantan, YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud berkata skim pembiayaan tanpa faedah itu merupakan antara inisiatif kerajaan negeri dalam memperkasa golongan usahawan menerusi Majlis Pembangunan Usahawan Kelantan (MPUK).
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Gala Usahawan Kelantan 2026 di The Laman, Ibis Styles Hotel, di sini, semalam.
“Penubuhan MPUK merupakan langkah strategik kerajaan negeri untuk memperkukuh ekosistem keusahawanan secara lebih tersusun dan berkesan,” katanya.
Menurutnya, melalui platform itu, peranan serta penglibatan pelbagai kementerian, jabatan, agensi dan institusi berkaitan dapat diselaraskan bagi memastikan agenda pembangunan usahawan negeri dilaksanakan secara menyeluruh.
Jelasnya, sejak mula beroperasi secara aktif pada tahun ini, MPUK telah menyusun dan melaksanakan pelbagai inisiatif pembangunan usahawan, khususnya dalam kalangan PMKS.
Selain Skim Kredit Mikro, penganjuran Karnival Batik, Songket dan Emas di KB Mall dari 19 hingga 28 November 2026 turut menjadi antara usaha mempromosikan produk tempatan serta memperluas peluang pasaran usahawan.
“Kerajaan negeri komited memastikan golongan usahawan tempatan diberikan ruang untuk terlibat dalam rantaian bekalan, pembekalan produk dan perkhidmatan serta peluang kerjasama perniagaan yang tersedia,” katanya.
Antara bidang yang mempunyai potensi untuk dikembangkan termasuk makanan dan minuman, kraftangan, batik, tekstil, pertanian serta penghasilan produk berasaskan sumber tempatan.
Beliau berharap MPUK terus berperanan sebagai platform penyelarasan yang berkesan dalam merangka inisiatif lebih bersasar dan memastikan setiap program memberi impak kepada golongan usahawan, khususnya PMKS.
Menteri Besar turut menggalakkan usahawan Kelantan supaya terus maju, berinovasi dan memanfaatkan peluang yang disediakan bagi mengembangkan perniagaan masing-masing.










