Accessibility Tools

Skip to main content

Menteri Besar Kelantan, YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud


‘Ore menego’ perlu jadi pemain utama ekonomi, tembusi pasaran antarabangsa - MB Kelantan

  • 29 November 2026
  • Oleh: Irham Hilmi Hashim
  • 43

KOTA BHARU, 29 November – Usahawan Kelantan atau lebih dikenali sebagai ‘ore menego’ diseru tampil sebagai pemain utama dalam pembangunan ekonomi negeri dengan memanfaatkan kelebihan geografi untuk menembusi pasaran Thailand dan antarabangsa.

Menteri Besar Kelantan, YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud berkata, usahawan tempatan perlu mengambil bahagian secara aktif dalam pertumbuhan ekonomi serta merebut peluang yang hadir menerusi kemasukan pelaburan ke negeri ini.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Gala Usahawan Kelantan 2026 di The Laman, Ibis Styles Hotel, di sini, semalam.

“Kedudukan Kelantan yang bersempadan dengan Thailand memberikan kelebihan strategik untuk memperluas operasi perniagaan dan meneroka peluang ekonomi rentas sempadan,” katanya.

Jelasnya, usahawan negeri ini bukan sahaja perlu menguasai pasaran domestik, malah perlu berupaya menembusi pasaran Thailand sebelum melangkah lebih jauh ke peringkat antarabangsa.

Sehubungan itu, hubungan kerjasama antara Malaysia, khususnya Kerajaan Negeri Kelantan, dengan pihak berkuasa serta pihak berkepentingan di Thailand perlu terus diperkukuh bagi memperluas peluang perdagangan dan jaringan perniagaan.

Langkah berkenaan juga penting untuk meningkatkan akses produk keluaran tempatan ke pasaran serantau, sekali gus membuka ruang lebih luas kepada pengusaha Kelantan mengembangkan perniagaan.

Dalam ucapannya, beliau turut menyentuh keupayaan anak Kelantan dalam bidang perniagaan yang mendapat pengiktirafan masyarakat serta perhatian dalam kajian akademik.

“Terdapat tiga faktor utama yang mendorong kejayaan usahawan Kelantan, iaitu keinginan memperbaiki taraf hidup keluarga, penglibatan usahawan muda khususnya wanita serta minat mendalam yang disokong dorongan berterusan keluarga,” katanya.

Ketiga-tiga faktor itu mencerminkan jati diri usahawan Kelantan yang mempunyai cita-cita tinggi untuk mengubah kehidupan, berani mengambil peluang dan membina sikap berdikari.

Selain itu, sektor keusahawanan negeri mempunyai potensi untuk terus dikembangkan menerusi bidang makanan dan minuman, kraftangan, batik, tekstil, pertanian serta penghasilan produk berasaskan sumber tempatan.

Beliau berkata, kerajaan negeri komited memastikan pembangunan industri dan infrastruktur turut memberikan manfaat secara langsung kepada usahawan tempatan.

“Usahawan juga perlu diberikan ruang untuk menyertai rantaian bekalan, pembekalan produk dan perkhidmatan serta pelbagai bentuk kerjasama perniagaan yang diwujudkan,” katanya.

Beliau yakin usaha bersama itu dapat memastikan pembangunan yang dirancang memberikan pulangan dan manfaat kepada rakyat, khususnya dalam memperkukuh kedudukan ekonomi usahawan tempatan.

Pautan berjaya disalin!