Accessibility Tools

Skip to main content

Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat, YB Zamakhshari Muhamad


Kerjasama kerajaan negeri, KBS sejak 2025 jayakan naik taraf Kolam Renang Sultan Yahya Petra

  • 29 November 2026
  • Oleh: Syamimi Manah
  • 73

KOTA DARULNAIM, 29 November - Kerjasama Kerajaan Negeri Kelantan, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan (JBSN Kelantan) berjaya merealisasikan projek naik taraf Kolam Renang Sultan Yahya Petra, Kota Bharu yang siap sepenuhnya pada 1 Jun 2026.

Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat YB Zamakhshari Muhamad berkata, usaha berkenaan bermula pada 3 Julai 2025 susulan lawatan Menteri Belia dan Sukan YB Hannah Yeoh Tseow Suan ke kompleks kolam renang itu bagi melihat keperluan penambahbaikan kemudahan sedia ada.

Menurutnya, dalam lawatan tersebut, beberapa cadangan dikemukakan khususnya menaik taraf kemudahan tandas dan membina dewan berbumbung bagi meningkatkan keselesaan pengguna.

“Susulan daripada lawatan tersebut, Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan (JBSN Kelantan) telah mengambil inisiatif dengan mengemukakan permohonan kepada Bahagian Pembangunan (BPN), Kementerian Belia dan Sukan (KBS) supaya peruntukan asal bagi Projek Naik Taraf Padang Bola YIK dipinda kepada Projek Naik Taraf Kolam Renang Sultan Yahya Petra, Kota Bharu.

“Alhamdulillah, permohonan tersebut telah diluluskan dengan peruntukan sebanyak RM400,000 untuk pelaksanaan projek ini,” katanya di laman rasmi, semalam.

Beliau berkata, kerja-kerja naik taraf bermula pada 1 Oktober 2025 selepas proses sebut harga dibuka pada 7 September dan ditutup pada 14 September tahun sama.

Projek berkenaan berjaya disiapkan sepenuhnya pada 1 Jun 2026 dengan kos pelaksanaan sebanyak RM378,550 daripada peruntukan RM400,000 yang diluluskan.

Dalam pada itu, YB Zamakhshari merakamkan penghargaan kepada YB Hannah Yeoh, KBS, Bahagian Pembangunan KBS serta JBSN Kelantan atas kerjasama dan komitmen dalam menjayakan projek berkenaan.

Katanya, kemudahan sukan yang baik bukan sekadar menyediakan ruang untuk masyarakat beriadah dan bersukan, malah menjadi sebahagian daripada usaha membudayakan gaya hidup aktif, melahirkan atlet serta membangunkan ekosistem sukan negeri.

“Insya-Allah, kita akan terus berusaha memastikan kemudahan sukan di Kelantan diberikan perhatian dan penambahbaikan secara berterusan demi manfaat rakyat,” ujarnya.

Pautan berjaya disalin!