Usahawan Kelantan diseru rebut peluang perniagaan menerusi ECRL, TOD dan COD
-
29 November 2026
-
Oleh: Irham Hilmi Hashim
-
58
KOTA BHARU, 29 November – Usahawan Kelantan diseru merebut peluang perniagaan baharu menerusi pembangunan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), pembangunan berorientasikan transit (TOD) di Tunjong serta pembangunan berorientasikan kargo (COD) di Pasir Puteh.
Menteri Besar Kelantan, YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud berkata, pembangunan infrastruktur berkenaan dijangka menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi negeri, sekali gus membuka ruang lebih luas kepada penglibatan usahawan tempatan.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Gala Usahawan Kelantan 2026 yang berlangsung di The Laman, Ibis Styles Hotel, di sini, semalam.
Menurutnya, pengoperasian ECRL yang dijadualkan pada 12 Disember 2026 serta pembangunan TOD dan COD berpotensi merancakkan aktiviti ekonomi serta mewujudkan pelbagai peluang perniagaan.
“Peluang tersebut merangkumi sektor perdagangan, peruncitan, perkhidmatan, pengedaran, pergudangan dan logistik yang dijangka berkembang seiring kemajuan prasarana berkenaan,” katanya.
Sehubungan itu, usahawan tempatan digalakkan merebut peluang dengan melibatkan diri dalam rantaian bekalan, pembekalan produk dan perkhidmatan serta pelbagai bentuk kerjasama perniagaan yang bakal diwujudkan.
Menteri Besar berkata, kerajaan negeri komited memastikan pembangunan industri dan infrastruktur yang dilaksanakan turut memberikan manfaat secara langsung kepada usahawan tempatan.
“Saya melihat potensi besar produk tempatan seperti makanan dan minuman, kraftangan, batik, tekstil serta hasil pertanian untuk dikembangkan sebagai produk komersial yang berkualiti dan berdaya saing,” katanya.
Beliau turut berharap usahawan Kelantan terus berinovasi, berani meneroka peluang baharu serta memperluas pasaran bagi mengangkat produk dan jenama negeri ke peringkat nasional dan antarabangsa.










