Pengalaman banjir dahulu panduan hadapi tengkujuh masa kini – Dato' Mohd Amar
-
26 November 2026
-
Oleh: Syamimi Manah
-
45
KOTA DARULNAIM, 26 November — Pengalaman masyarakat Kelantan menghadapi banjir sejak generasi terdahulu perlu dijadikan panduan oleh penduduk masa kini dalam membuat persediaan menghadapi musim tengkujuh.
Speaker Dewan Negeri Kelantan YB Dato' Sri Amar D'Raja Dato' (Dr) Mohd Amar Abdullah berkata, pengalaman orang dahulu yang memahami keadaan kawasan tempat tinggal masing-masing mendidik mereka supaya lebih bersedia dan tenang ketika berdepan banjir.
Menurutnya, masyarakat Kelantan sudah lama melalui musim tengkujuh yang lazimnya bermula pada November, dengan hujan semakin kerap turun dan paras air sungai mula menjadi perhatian penduduk.
Beliau berkata, ketika masih kecil, beliau sering melihat masyarakat membuat persediaan menghadapi banjir seawal Oktober dengan memeriksa perahu, menyediakan galah dan membaiki bahagian perahu yang bocor.
“Kayu-kayu di halaman diikat supaya tidak dihanyutkan air, manakala barang penting dipindahkan ke tempat yang lebih tinggi. Beras, gula dan makanan dalam tin turut disimpan secukupnya.
“Kalau banjir berlarutan sehingga dua minggu, bekalan sudah tersedia,” katanya di laman rasmi, pada Selasa.
Dato' Mohd Amar berkata, pengalaman membesar di Panchor dan kembali ke Kota Bharu setiap kali cuti sekolah memberikannya peluang melihat sendiri bagaimana masyarakat ketika itu menghadapi musim tengkujuh.
Beliau yang dilahirkan di Jalan Hulu Kota, berhampiran Istana Balai Besar di Kota Bharu berkata, antara pengalaman yang masih diingatinya ialah banjir di kawasan Padang Bank yang pernah mencapai hampir paras dada orang dewasa.
Katanya, kawasan sekitar Masjid Muhammadi juga pernah mengalami banjir yang dalam sehingga orang ramai terpaksa meredah air sambil menjunjung bekalan makanan di atas kepala.
“Apa yang menarik perhatian saya, orang ketika itu tidak mudah kelam-kabut. Mereka sudah memahami keadaan tempat tinggal sendiri dan tahu bagaimana hendak menghadapinya.
“Pengalaman inilah yang mendidik mereka supaya lebih tenang walaupun kemudahan pada zaman itu sangat terbatas,” ujarnya.
Beliau berkata, pengalaman generasi terdahulu perlu diwariskan kepada golongan muda supaya mereka memahami kepentingan persediaan awal dan tanggungjawab terhadap diri serta keluarga.
Menurutnya, meskipun masyarakat Kelantan sudah biasa menghadapi banjir, bencana itu tidak boleh dipandang ringan kerana negeri ini pernah melalui beberapa peristiwa banjir besar termasuk Bah Air Merah dan banjir pada tahun 2014.
Katanya lagi, kejadian banjir besar sebelum ini menyebabkan ada keluarga kehilangan rumah dan harta benda, malah terpaksa berpindah demi menyelamatkan nyawa.
Sehubungan dengan itu, beliau mengingatkan penduduk supaya mengambil langkah berjaga-jaga dengan menyediakan bekalan makanan, air bersih, ubat-ubatan dan keperluan keluarga, selain memindahkan barang penting ke tempat lebih tinggi.
“Kalau rumah berada di kawasan rendah, selamatkan barang penting lebih awal. Sediakan bekalan makanan, air bersih, ubat-ubatan dan keperluan keluarga.
“Ikuti perkembangan cuaca serta arahan pihak berkuasa. Apabila keadaan memerlukan kita berpindah, janganlah berlengah sehingga keselamatan terancam,” pesannya.
Dato' Mohd Amar turut menegaskan, masyarakat perlu memanfaatkan kemudahan ramalan cuaca, sistem amaran dan jaringan komunikasi yang tersedia pada masa kini.
Tambahnya, pengalaman masyarakat setempat yang mengenali keadaan kawasan masing-masing perlu digabungkan dengan kemudahan semasa bagi menghadapi kemungkinan banjir.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan orang awam supaya tidak mengambil risiko ketika membantu mangsa banjir, sebaliknya menyerahkan kerja menyelamat kepada anggota bomba, polis, tentera dan pasukan penyelamat yang terlatih.
“Keinginan membantu itu baik, tetapi mesti disertai pertimbangan. Jangan sampai kita turun menyelamatkan orang, akhirnya orang lain pula terpaksa datang menyelamatkan kita,” jelasnya.
Beliau juga menyeru masyarakat supaya mengutamakan kebajikan penduduk yang terjejas dan saling membantu melalui penyediaan makanan, penyampaian maklumat serta perhatian terhadap jiran tetangga yang memerlukan.
Katanya, musim tengkujuh juga perlu menjadi ruang untuk memperkukuh semangat persaudaraan dan tanggungjawab bersama dalam kalangan masyarakat.
“Mudah-mudahan musim tengkujuh ini memperkukuh semangat persaudaraan. Jaga keselamatan dan sama-sama mengambil berat terhadap jiran tetangga. Kita laksanakan segala ikhtiar yang termampu, insya-Allah,” ujarnya.








