Kejayaan 60 pelajar anak Kemahang jadi kebanggaan - Dato' Md Anizam
Oleh: Syamimi Manah
Foto: Media ADN Kemahang
TANAH MERAH, 14 Mei – Kejayaan anak-anak di kawasan Kemahang bukan sahaja membanggakan keluarga masing-masing, bahkan seluruh masyarakat setempat.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Kemahang YB Mejar (B) Dato' Md Anizam Ab Rahman berkata, pencapaian keseluruhan 60 pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan Sijil Menengah Ugama (SMU) di DUN berkenaan membuktikan potensi besar anak muda dalam bidang pendidikan, sekali gus menjadi aset penting kepada masa depan masyarakat.
“Alhamdulillah, kejayaan anak-anak ini bukan sahaja membanggakan keluarga masing-masing, bahkan menjadi kebanggaan seluruh masyarakat DUN Kemahang,” katanya menerusi laman rasmi, semalam.
Beliau berkata, daripada jumlah tersebut, sebanyak 30 pelajar cemerlang SPM yang memperoleh keputusan 9A, 8A dan 7A telah diraikan dalam satu majlis penyampaian sumbangan khas, semalam.
Menurutnya, sumbangan itu diharap dapat menjadi dorongan dan suntikan semangat kepada para pelajar untuk terus mengekalkan kecemerlangan serta mencapai kejayaan yang lebih tinggi pada masa hadapan.
Dalam pada itu, Dato' Md Anizam memaklumkan pelajar yang memperoleh keputusan 4A, 5A dan 6A juga akan menerima saguhati pada majlis yang akan dirancang kemudian.
“Kita akan pastikan semua pelajar cemerlang ini termasuk yang belum diraikan akan diberi penghargaan sewajarnya secara berperingkat,” ujarnya.
Tambahnya, pihak Pusat Khidmat DUN Kemahang kini sedang meneliti serta menyusun penyerahan bantuan kepada semua pemohon yang layak bagi memastikan kebajikan dan sokongan pendidikan dapat diteruskan secara menyeluruh.
Beliau yang juga Exco Kerajaan Negeri turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program kebajikan dan pendidikan di DUN Kemahang, selain berharap usaha berterusan itu dapat melahirkan lebih ramai generasi cemerlang pada masa hadapan.












