ATM di PKD Kemahang beri manfaat kepada masyarakat
Oleh: Irham Hilmi Hashim
TANAH MERAH, 14 Mei — Inisiatif Ahli Dewan Negeri (ADN) Kemahang YB Mejar (B) Dato’ Anizam Ab Rahman menyediakan kemudahan mesin ATM dan Cash Deposit Machine (CDM) Bank Islam di Pejabat Pusat Khidmat DUN (PKD) Kemahang memberi manfaat kepada masyarakat.
Kemudahan tersebut memudahkan urusan kewangan harian masyarakat setempat, khususnya bagi penduduk yang sebelum ini terpaksa melakukan perjalanan jauh ke bandar Tanah Merah untuk mengakses perkhidmatan perbankan.
Dato’ Md Anizam berkata, usaha membawa kemudahan berkenaan telah dimulakan sejak tahun lalu sebagai langkah meningkatkan akses rakyat kepada perkhidmatan kewangan yang lebih mudah, cepat dan selesa.
Menurutnya, kemudahan itu membolehkan penduduk melakukan urusan pengeluaran wang, simpanan tunai serta pelbagai transaksi perbankan harian secara lebih efisien sebaik sahaja beroperasi pada Rabu.
“Alhamdulillah, hasil usaha bersama akhirnya membuahkan hasil dan kini kemudahan ini sudah boleh digunakan sepenuhnya oleh masyarakat setempat.
“Kita juga merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada pihak Bank Islam kerana meluluskan permohonan ini demi kesejahteraan rakyat di kawasan ini,” katanya menerusi media sosial, semalam.
Beliau berkata, kerjasama pihak Bank Islam amat dihargai memandangkan kemudahan tersebut merupakan antara keperluan asas yang dinantikan penduduk sekitar, khususnya dalam memudahkan urusan kewangan tanpa perlu ke bandar.
Dalam masa sama, beliau berharap masyarakat setempat dapat bersama-sama menjaga kemudahan itu termasuk memastikan kebersihan kawasan sekitar sentiasa terpelihara.
“Sikap prihatin dan rasa tanggungjawab bersama amat penting supaya kemudahan ini terus berada dalam keadaan baik serta selesa digunakan demi manfaat semua,” ujarnya.












