Accessibility Tools

Skip to main content

Pemimpin Kelantan mudah didekati masyarakat pelbagai kaum – Dato’ Oie Poh Choon

Oleh: Syamimi Manah

KOTA DARULNAIM, 14 Mei – Sikap keterbukaan pemimpin Kerajaan Kelantan dalam mendekati masyarakat pelbagai kaum terus mendapat penghargaan komuniti bukan Islam. 

Presiden Gabungan Pertubuhan Tiong Hwa Kelantan Dato’ Oie Poh Choon, 67 berkata, hubungan baik antara masyarakat Cina dengan pemimpin kerajaan negeri dalam menyelesaikan sebarang permasalahan ialah melalui kaedah penyaluran terus isu kepada pihak berkaitan untuk tindakan segera.

Menurutnya, masyarakat bukan Islam di negeri ini tidak pernah berdepan kesukaran untuk bertemu wakil kerajaan negeri termasuk barisan Exco dan Menteri Besar bagi membincangkan isu semasa.

“Kalau kami nak jumpa Exco-Exco pun mudah, bukan kena buat temu janji dua bulan. Telefon sahaja dah boleh jumpa YB,” katanya 

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Kepada Persatuan Bukan Islam oleh Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat YB Zamakhshari Muhamad di Mabna, Kompleks Kota Darulnaim, semalam.

Beliau juga memaklumkan, Gabungan Pertubuhan Tiong Hwa Kelantan menghimpunkan 61 persatuan Cina di seluruh negeri dan berperanan sebagai penghubung utama antara masyarakat dengan kerajaan negeri.

Katanya, pelbagai isu berkaitan masyarakat Cina di Kelantan dapat dibincangkan secara baik menerusi pertemuan bersama pimpinan kerajaan negeri.

“Banyak masalah yang ada di Kelantan ni, gabungan Tiong Hwa pilih cara berjumpa muka, pergi mesyuarat sekali dengan Exco-Exco dan kerajaan negeri terutama sekali Menteri Besar. Selalunya dapat diselesaikan, tak ada masalah besar,” ujarnya.

Dato’ Oie Poh Choon turut menegaskan bahawa kehidupan masyarakat pelbagai kaum di Kelantan berlangsung dalam keadaan aman dan harmoni walaupun sering timbul persepsi negatif dari luar negeri.

“Orang luar kata di sini kena pakai tudung, kena pakai seluar panjang. Sebenarnya kita hidup di Kelantan ni aman damai dan bebas,” jelasnya.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Siam Kelantan Ah Rin Alak, 65 berkata, komuniti Siam di negeri ini berasa bertuah kerana dapat hidup dalam suasana aman dan harmoni di Kelantan.

Pengerusi Persatuan Siam Kelantan Ah Rin Alak, 65

“Kalau dibandingkan dengan di Thailand, kami rasa di Kelantan kami lebih hidup bahagia,” katanya.

Beliau berkata, persatuan yang telah ditubuhkan sejak 33 tahun lalu itu aktif menjalankan aktiviti gotong-royong di wat serta program keagamaan dan kebudayaan termasuk sambutan Songkran.

Dalam pada itu, Timbalan Pengerusi Persatuan Yitlan Gua Musang Foo Kok Lim, 62 berkata, sumbangan kerajaan negeri amat membantu usaha persatuan membaik pulih dewan serbaguna yang digunakan masyarakat setempat.

“Hari ini datang ke pejabat Exco Perpaduan Masyarakat untuk terima sumbangan RM8,000 bagi baiki bangunan dewan serbaguna,” katanya.

Yitlan Gua Musang Foo Kok Lim, 62

Beliau turut berharap bantuan kepada persatuan bukan Islam dapat diteruskan pada masa akan datang demi manfaat komuniti setempat.

Bendahari Persatuan Ching Kang Kelantan Andrew Yeap, 48 pula berkata, kerajaan negeri sentiasa menunjukkan komitmen membantu persatuan bukan Islam termasuk dalam kerja membaik pulih fasiliti persatuan.

Bendahari Persatuan Ching Kang Kelantan Andrew Yeap, 48

Menurutnya, persatuan itu menerima sumbangan RM10,000 untuk membaiki kebocoran bumbung dan menaik taraf lantai dewan serbaguna di Jalan Seri Cemerlang.

“Kerja-kerja pembaikan akan dimulakan bulan ini supaya dewan lebih selesa untuk program-program akan datang,” katanya.

Beliau berkata, persatuan berusia 48 tahun itu juga aktif menjalankan program pendidikan dan penghargaan kepada pelajar cemerlang dalam kalangan ahli setiap tahun.

Pautan berjaya disalin!