Accessibility Tools

Skip to main content

Kelantan-Jakarta bincang kerjasama sektor pelancongan, perdagangan

Oleh: Asri Hamat

KOTA DARULNAIM,14 Mei — Kerajaan Negeri Kelantan dan pentadbiran Daerah Khusus Ibu Kota (DKI) Jakarta membincangkan pelbagai bentuk kerjasama strategik dua hala melibatkan sektor pelancongan, perdagangan serta pemeliharaan warisan Melayu-Islam.

Perkara tersebut didiskusikan oleh Menteri Besar Kelantan YAB Dato' Panglima Perang Ustaz Dato' Mohd Nassuruddin Daud bersama  Gabenor DKI Jakarta, Pramono Anung Wibowo dalam lawatan kerja rasminya ke Republik Indonesia, pada Rabu.

Sehubungan itu, Dato' Mohd Nassuruddin berkata, antara fokus utama perbincangan ialah pengembangan sektor pelancongan merangkumi pelancongan ilmu, warisan, budaya dan kesihatan.

Menurutnya, kedua-dua pihak turut memberi penekanan terhadap usaha memelihara sejarah Melayu-Islam serta manuskrip lama selain memperhalusi peluang pelaburan bagi memperkukuh jaringan perdagangan antara Kelantan dan Jakarta.

“Kerjasama ini penting bagi memastikan hubungan ekonomi kedua-dua wilayah terus kukuh dan berdaya saing.

“Saya amat yakin Kelantan memiliki potensi dan kelebihan yang masih luas untuk diterokai dan dikembangkan. Hasil kerjasama yang terjalin diharapkan memberi impak bermakna sekali gus meningkatkan taraf kesejahteraan hidup rakyat,” katanya menerusi media sosial, semalam. 

Terdahulu, beliau bersama delegasi dari Kelantan mengadakan kunjungan rasmi ke pejabat Pramono Anung Wibowo di Jakarta City Hall.

Sementara itu, Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Kelantan YB Datuk Kamaruddin Md Nor pula berkata, kerjasama berkenaan akan diperkukuhkan lagi menerusi pengumuman penerbangan terus dari Kota Bharu ke Jakarta yang dijadual bermula pada 16 Jun 2026.

Menurutnya, kemudahan akses udara itu diyakini mampu menjadi pemangkin kepada aliran pelancong, pelajar dan pelabur antara kedua-dua wilayah dengan lebih efisien.

“Jalinan erat dengan pihak pentadbiran DKI Jakarta ini dilihat menjadi titik mula baharu kepada fasa pembangunan pelancongan yang lebih dinamik dan berdaya saing.

“Dengan adanya penerbangan terus bermula Jun ini, pasaran pelancongan tempatan kini terbuka lebih luas untuk diteroka warga Jakarta dan Indonesia secara amnya,” jelasnya.

Anggota delegasi Kelantan yang turut hadir dalam lawatan kerja tersebut ialah  Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan YBM Tengku Kaya Perkasa Dato' Dr Tengku Mohamed Faziharudean Al-Haj Tengku Faisal, Timbalan Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan YB Zambri Mat Nawang.

Turut mengiringi, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan) Dato' Ab Pattah Hasbullah dan Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri Kelantan (UPEN) Wan Zulfadhli Syahman Wan Yusof.

Pautan berjaya disalin!