Accessibility Tools

Skip to main content

Timbalan Menteri Besar Kelantan, YB Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan


Ketatkan kebocoran subsidi diesel sebelum kurangkan kuota BUDI95 - TMB Kelantan

Oleh: Norzana Razaly

KOTA DARULNAIM, 14 Mei – Kerajaan Persekutuan disaran meneliti terlebih dahulu isu kebocoran penggunaan diesel bersubsidi di bawah Sistem Bekalan Diesel Bersubsidi (SKDS 2.0) sebelum mempertimbangkan cadangan pengurangan kuota petrol BUDI95 daripada 200 liter kepada 150 liter sebulan.

Demikian kenyataan Timbalan Menteri Besar Kelantan YB Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan melalui kenyataan rasmi, semalam.

Menurutnya, langkah mengurangkan kuota subsidi kepada rakyat perlu dibuat secara lebih berhati-hati dengan mengambil kira realiti kehidupan masyarakat luar bandar yang amat bergantung kepada penggunaan kenderaan sendiri.

Beliau berkata, kerajaan memahami tekanan ekonomi semasa termasuk peningkatan kos subsidi bahan api akibat ketidaktentuan geopolitik dunia, namun keutamaan perlu diberikan kepada usaha membendung ketirisan subsidi yang berpotensi dinikmati pihak korporat besar.

“Kerajaan perlu melihat dahulu sama ada diesel bersubsidi RM2.15 seliter di bawah SKDS 2.0 benar-benar dimanfaatkan untuk keperluan logistik asas rakyat seperti pengangkutan beras, sayur-sayuran dan ubat-ubatan, atau turut digunakan bagi mengangkut produk komersial milik syarikat besar termasuk makanan segera jenama antarabangsa, minuman berkarbonat, barangan mewah dan produk import,” katanya dalam kenyataan tersebut.

Beliau berpandangan, sekiranya syarikat korporat besar yang mencatat keuntungan tinggi turut menikmati manfaat subsidi bahan api secara tidak langsung menerusi kos logistik rendah, keadaan itu boleh menimbulkan persoalan berkaitan keadilan dalam pengagihan subsidi rakyat.

Tegasnya, pengurangan kuota BUDI95 secara seragam juga berisiko memberi kesan lebih besar kepada penduduk luar bandar berbanding masyarakat bandar yang mempunyai akses lebih luas kepada sistem pengangkutan awam.

“Penduduk di kawasan luar bandar seperti di Kelantan, Terengganu, Sabah dan Sarawak masih bergantung kepada kenderaan persendirian untuk urusan harian. Ada guru yang perlu memandu puluhan kilometer ke sekolah dan nelayan yang menggunakan bahan api untuk operasi harian mereka.

“Mungkin 150 liter mencukupi bagi sebahagian pengguna di bandar besar yang mempunyai kemudahan seperti MRT, namun situasi itu berbeza bagi masyarakat luar bandar yang tidak mempunyai banyak pilihan,” katanya.

Mengulas data penggunaan bahan api nasional yang menunjukkan sebahagian besar rakyat menggunakan kurang daripada 150 liter sebulan, beliau berpandangan angka purata tersebut tidak semestinya menggambarkan keadaan sebenar di semua kawasan.

Katanya lagi, pendekatan berasaskan purata nasional perlu diteliti semula kerana berpotensi menenggelamkan realiti rakyat di kawasan pedalaman dan desa yang memerlukan penggunaan bahan api lebih tinggi untuk mobiliti harian.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan kerajaan memperketatkan kawal selia penggunaan diesel bersubsidi melalui SKDS 2.0 dengan mengasingkan kategori barangan yang layak menikmati subsidi.

“Barangan asas rakyat seperti beras, sayur-sayuran, ubat-ubatan dan keperluan asas wajar terus menerima manfaat subsidi penuh, manakala syarikat besar yang mengangkut produk komersial dan barangan premium seharusnya menanggung sendiri kos logistik mereka,” ujarnya.

Beliau turut mengusulkan supaya pengendali lori di bawah SKDS 2.0 diwajibkan mengisytiharkan jenis muatan dan penerima perkhidmatan bagi memastikan subsidi benar-benar sampai kepada sektor yang memberi manfaat langsung kepada rakyat.

Tambahnya, sekiranya kerajaan tetap mempertimbangkan pengurangan kuota BUDI95, pendekatan bersasar mengikut lokasi dan akses pengangkutan awam perlu dipertimbangkan agar tidak membebankan masyarakat luar bandar.

“Kerajaan sewajarnya menutup ruang kebocoran subsidi terlebih dahulu sebelum menyentuh kuota rakyat. Sebarang keputusan berkaitan BUDI95 perlu mengambil kira keperluan sebenar rakyat di lapangan, bukan semata-mata berdasarkan angka purata,” katanya.

Pautan berjaya disalin!