Accessibility Tools

Skip to main content

Pemilik ternakan cuai dikenakan kompaun biar haiwan merayau

Oleh: Irham Hilmi Hashim

GUA MUSANG, 14 Mei — Pemilik ternakan yang didapati cuai sehingga menyebabkan haiwan peliharaan mereka merayau bebas di kawasan awam bakal dikenakan tindakan kompaun mengikut Undang-Undang Kecil yang telah ditetapkan pihak berkuasa tempatan.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar YB Hilmi Abdullah berkata, tindakan tegas itu penting bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya serta mengelakkan gangguan kepada masyarakat setempat.

Menurutnya, operasi bersepadu tangkapan haiwan merayau yang dijalankan oleh penguat kuasa Majlis Daerah Gua Musang membuktikan isu haiwan ternakan berkeliaran masih berlaku dan memerlukan perhatian serius daripada pemilik ternakan.

“Pemilik haiwan perlu lebih bertanggungjawab dengan memastikan ternakan mereka sentiasa dikawal dan tidak dilepaskan bebas sehingga boleh mendatangkan risiko kemalangan serta mengganggu ketenteraman awam,” katanya menerusi media sosial, hari ini.

Terdahulu, operasi itu dijalankan susulan aduan awam di beberapa lokasi termasuk jalan Kuala Krai-Gua Musang, Paloh-Chalil dan Sungai Asap melibatkan 18 anggota penguat kuasa Majlis Daerah Gua Musang, bermula pukul 9 malam, semalam.

Dalam operasi tersebut, pihak berkuasa berjaya menangkap empat ekor haiwan ternakan yang didapati berkeliaran tanpa kawalan di kawasan berkenaan.

Menurutnya, pemilik haiwan yang ditangkap diberi tempoh tujuh hari daripada tarikh operasi untuk membuat tuntutan terhadap ternakan masing-masing.

Beliau turut menegaskan, sekiranya tiada tuntutan dibuat dalam tempoh tersebut, haiwan berkenaan akan dilelong mengikut peraturan di bawah Undang-Undang Kecil Haiwan Merayau Majlis Daerah Gua Musang.

Tambahnya, tindakan penguatkuasaan itu bukan sahaja bertujuan menjaga kebersihan dan imej kawasan awam, malah sebagai langkah pencegahan bagi mengurangkan risiko kemalangan akibat haiwan ternakan yang berkeliaran di jalan raya.

Pautan berjaya disalin!